Saturday, June 13, 2009

Novel kanak-kanak-Dunia cinta mama

Anif duduk diam-diam di 'seat' belakang. Babah terus juga memandu, sedikit pun tidak berkalih pandang pada mama di sebelah. Sesekali babah menyebak rambut. Nampak benar babah tidak senang dengan kehadiran Anif di dalam kereta itu. Anif tahu, babah butuh berdua-duaan dengan mama. Anif cuma menganggu dunia babah yang tenteram....
" Anif.....ceritalah pasal Fifi tu. Bah pun nak dengar jugak. Kan bah?" Mama masih menggesa Anif. Anif terus juga diam. Buat apa dia bercerita, kalau babah tidak bersedia menadah telinga. Perlahan, Anif menerokai dunia ilusinya sendiri. Anif ingin bermain-main dengan Fifi, budak perempuan yang rambutnya selalu bertocang dua. Anif selalu tarik tocang Fifi, sampai dia akan lekas-lekas pulang mengadu pada ibunya yang juga dipanggil 'mama'. Kenapa ada banyak 'mama' dalam dunia ini? Mama Fifi lain dengan mama Anif. Mama Fifi tiada adik dalam perutnya. Mama Fifi selalu masak cekodok untuk Fifi. Sedap betul cekodoknya. Anif terliur. Tapi cekodok mama pun sedap juga. Lebih sedap daripada cekodok 'mama ' Fifi. Sebab ini mama Anif, bukan mama orang lain. Anif bangga dengan mama. Orang selalu panggil mama ' cikgu'. Semua orang pun begitu. Anif masih ingat semasa mama adakan jamuan, sebab babah berjaya naik pangkat. Ramai kakak-kakak dan abang-abang memenuhi ruang tamu mereka yang tidak seluas mana itu. Mama masak nasi tomato dengan ayam masak merah. Semua memuji masakan mama, semuanya makan bertambah. Ada yang bermain-main dengan Anif. Ada yang mencubit pipi gebu Anif. Ada juga yang memeluk tubuh Anif. Anif suka dilayani begitu. Itu tandanya orang sayang padanya. Anif tersenyum-senyum seorang...
" Bah ni kenapa? Dah hilang akal nampaknya...dengan anak sendiri nak buat gaduh!" Mama menutup siaran radio yang sejak tadi berkumandang, memenuhi ruang yang sepi antara mereka. Anif pekup telinga lagi. Kali ini lebih kuat. Anif lihat mama memasamkan wajahnya. Mama berpeluk tubuh. Kedengaran suara mama begitu keras pada babah tadi. Anif tidak suka mendengar suara mama yang melengking seperti itu. Babah kan suami mama. Mama tak boleh tinggikan suara pada babah. Nanti mama tak dapat masuk syurga. Anif takut bila mama tinggi suara tadi, mesti adik dalam perut mama lebih-lebih lagi. Anif cuba buka mulut tapi suara mama lebih dahulu menerpa gegendang telinganya.
" Kalau bah tak nak cakap dengan Anif, jangan cakap dengan ma jugak!" Suara mama tambah keras.
" Ma..." Perlahan suara babah menerjah telinga Anif. Datar nada suara babah. Mama tetap membatu. Wajah mama tetap tegang. Marah mama masih belum mengendur. Lama mama memasang jeda.
" Ok....Anif, kita pergi rumah Tok Mak ngan Tok Bah ya. Diorang pun rindu kat Anif."
" Seronoknya....Anif pun dah rindu kat Tok Mak ngan Tok Bah." Anif sedikit girang, baharu kali ini dia rasa bahagia. Babah dah pun tegur Anif. Tentu babah sudah maafkan Anif.
Setelah itu, babah terus juga diam. Mama tersenyum-senyum. Anif tengok, mama genggam tangan babah di stereng. Kali ini lekuk di pipi mama nampak betul-betul terserlah..

" Anif, meh sini sayang. Salam Tok Mak."
" Mak sihat?" Mama peluk tubuh Tok Mak yang berisi. Anif lihat Tok Mak mengusap-ngusap perut mama. Tok Mak senyum lebar. Anif menghampiri Tok Mak dan Tok Bah. Dipeluk tubuh Tok Bah yang kurus melidi. Tok Bah sudah tiada gigi. Tok Bah pakai gigi palsu yang babah belikan. Tok Bah senyum hambar. Anif peluk tubuh Tok Bah, erat sekali.
" Hilmi, mak nak cakap sikit dengan kamu."Tok Mak mengatur langkah ke arah dapur. Mama bingkas bangun. Anif yang duduk di sebelah mama, pun turut sama bangun.
" Min duduk dulu. Borak ngan abah. Dah lama tak bercakap dengan Min." Tok Bah lekas-lekas menyelit. Mama akur. Babah membontoti langkah Tok Mah. Anif ikut babah. Tapi babah tak pula marah...
" Kamu pergilah mana-mana...mak kasihan betul pada Jasmin tu." Tok Mak mengusap-ngusap bahu babah. Anif lihat, babah tersedu-sedu di bahu Tok Mak. Kali pertama, Anif lihat babah menangis seperti anak kecil.
" Kita ikhtiar sama-sama. Yang penting kamu kena kuat." Tok Mak menyeka air mata yang semakin deras mengalir.
" Mak...Mi tak kuat. Mi kesian pada Min." Sayu suara babah. Inikah babah...lelaki yang selalu tampak gagah. Tapi babah pun manusia...babah pun ada rasa. Babah pun ada emosi. Cuma kali ini emosi babah terhambur. Di hadapan mata Anif sendiri.
" Kita kena tolong Min. Mak ngan abah ada..." Tok Mak merangkul tubuh babah. Kali ini babah mengangguk.
" Bah...jom kita balik!" Mama melaungkan nama babah. Anif tersentak.
" Kenapa ni ma?" Buru-buru babah keluar ke ruang tamu diikuti Tok Mak.
" Abah ni dah nyanyuk...ada ke dia kata..." Bicara mama terhenti. Dipekupnya muka.
Babah menghampiri mama, seperti tidak perlu bertanya apa-apa lagi. Babah sudah maklum. Diusapnya bahu mama yang terhinggut-hinggut menahan tangis. Babah nampak sedih.
" Anif memang dah tak ada sayang...kita kena terima. Allah lebih sayangkan Anif." Suara babah bergetar. Babah menahan sebak.
" Bah pun dah tak betul agaknya! Anif ada lagi. Betul-betul depan kita. Sayang...meh dekat mama." Mama mendepangkan tangannya. Anif kecil hati. Anif tidak ikut kata mama. Perlahan Anif mula menjauh.
" Nif....Meh sini sayang. Meh sini. Jangan tinggal ma..." Mama terjelopok di lantai. Babah lekas-lekas mencapai tubuh mama yang nampak tidak berdaya. Anif menyapu air mata yang mengalir di pipi.
" Nif...jangan merajuk dengan ma. Meh dekat ma." Sayu suara ma. Anif diruntun sebak. Tapi dia mesti pergi. Kerana ma....

Anif lihat mama dari jauh. Anif tidak muncul di hadapan ma. Anif hanya 'hidup' dalam dunia cinta mama. Kini dia mesti pergi. Demi ma. Demi bah. Demi Tok Mak. Demi Tok Bah. Dan demi adik.
Anif mahu lihat mama untuk kali penghabisan. Mama duduk di atas sofa, diam tidak berkutik. Babah sedang melayari internet. Hari Sabtu yang tenang. Angin bertiup sepoi bahasa. Sepi memecahkan suasana. Anif melangkah ke arah mama. Mengumpul sisa keberanian. Anif sentuh tangan mama. Mama senyum. Mama kucup pipi Anif. Lama mama tenung wajah Anif. Anif pun tatap mata mama. Tiada kata-kata.
" Pergilah....ma lepaskan." Berderai air mata ma.
" Bah.....kita ke kubur Anif." Ma menguntum senyum. Mata Anif berkaca. Babah tersentak. Jari-jemari bah yang menari di atas 'keyboard' serta-merta terhenti. Sejenak, babah tersenyum. Hati Anif diresapi bahagia......yang teramat!

No comments:

Post a Comment