Friday, June 12, 2009

Novel kanak-kanak...-Dunia cinta mama

" Anif, kan ma dah kata jangan sentuh buku babah tu!" Mama pantas memberi amaran sebaik sahaja jari-jemari Anif mengelus kulit buku kesayangan babah. Anif pantas menarik tangannya. Khuatir mama marah lagi. Kalau mama marah nanti mama sakit. Nanti adik dalam perut mama pun sakit. Anif tak mahu mama sakit. Mama menggulum senyum bila Anif mendengar kata. Anif lihat, mama penat betul. Sejak tadi mama terbaring di sofa dengan jari-jemarinya memicit-micit kepala. Anif jatuh kasihan...
" Ma.....biar Anif picit. Nanti tak sakit dah." Anif menggunakan kudrat tubuh kecilnya memicit kepala mama. Anif lihat mama senyum lebar. Mama pejam mata rapat-rapat, seolah-olah mahu menikmati nikmat urutan Anif. Anif rasa perkasa. Mama tentu kelegaan nanti....makin rancak jari-jemarinya mengurut-ngurut kepala mama.
" Terima kasih anak ma. Sedap betul...ma dah tak sakit lagi dah." Mama mencium pipi gebu Anif. Anif kegelian. Dia tertawa kecil. Mama turut tertawa. Anif rasa bahagia. Sejak akhir-akhir ini, mama jarang ketawa. Wajah mama selalu tegang. Dahi mama selalu berkerut. Anif suka lihat mama senyum. Bila mama senyum, macam ada satu lekuk di kedua belah pipi mama. Anif takjub...
Anif dengar bunyi enjin kereta babah dimatikan. Anif tahu babah sudah pulang. Kali ini Anif mahu tolong memicit kepala babah pula. Kalau babah suruh urut bahu pun, Anif akan ikut. Anif berlari-lari ke muka pintu. Anif tak sabar-sabar mahu melihat babah. Anif tak sabar mencium bau peluh babah yang melekat di tubuh. Anif mahu memeluk tubuh babah...
" Assalamualaikum...." Babah terpacul di muka pintu. Babah kelihatan penat. Wajahnya pun tegang seperti mama.
" Waalaikummussalam....abang dah balik." Mama bingkas bangun. Susah-payah mama cuba bangkit dari sofa.
" Kenapa ma biarkan pintu terbuka?" Babah melabuhkan duduk di sebelah mama. Babah letakkan 'briefcase'nya di tepi. Perlahan mama sandarkan kepalanya di bahu tegap babah. Rasa bahagia menjalar di dada Anif.
" Anif.....kenapa tak salam babah ni? Babah balik dia boleh buat tak tau aja...." Mama mula mengomel. Anif berlari-lari ke arah mama. Anif lihat wajah babah tegang. Rasa takut mencengkam dada Anif. Babah marah lagikah pada Anif? Anif tahu, Anif salah. Anif yang koyakkan dokumen babah. Rasa bersalah semakin menggigit tangkai hati Anif. Babah buat tidak sedar kewujudan Anif. Kolam mata Anif mula berair.
" Anif...mari duduk sebelah ma." Mama menepuk-nepuk sofa di sebelahnya. Anif akur, tanpa banyak soal lagi.
" Bah.....tak elok marah anak lama-lama. Anif bukannya sengaja pun. Babah yang letak merata-rata...." Mama melampiaskan rasa tidak puas hati dengan tingkah babah yang tidak mempedulikan Anif. Anif pekup telinga kuat-kuat. Anif tidak tahan melihat mama dan babah bertengkar kerananya. Biarlah babah terus marah pada Anif. Anif rela....
" Bah naik atas dulu. Tak solat Asar lagi. Nanti bah siap, kita makan kat luar." Babah langsung tidak menoleh pada Anif yang duduk di sebelah mama.
" Bah....Anif anak kita. Satu-satunya..." Air mata mama deras mengalir. Hati Anif juga dilanda sebak. Kalaulah dia tidak mengoyakkan dokumen penting babah tempoh hari...
" Ma ngan Anif pun siap juga. Nanti Bah turun..." Babah mengatur langkah ke arah tangga. Anif lihat, mama senyum bila sahaja babah menyebut nama Anif. Hati mama tentu berbunga-bunga...
" Ha...kan ma dah cakap, babah dah tak marah Anif lagi. Dah, jom kita siap. Nanti bah tak payah tunggu lama." Mama memimpin tangan Anif ke kamar.
" Betul ke bah dah tak marah lagi ma?" Perlahan nada suara Anif. Mama senyum pantas mengangguk. Anif puas hati melihat ceria yang terlukis di wajah mama. Duka mama sudah pun menyisih pergi. Anif mampu bernafas lega.
" Kita pakai baju warna merah ya. Bah suka warna merah..." Ma mencapai baju t-shirt merah kegemaran Anif. Pantas Anif mengangguk-ngangguk.
" Anif pakai ya...ma nak tukar baju."

" Kenapa diam aja semua ni? Anif tak nak cerita pasal Fifi kat bah?" Mama menukar siaran radio. Babah berlagak tenang.

1 comment: