Monday, June 22, 2009

lembar duka Hana

LEMBAR DUKA HANA…

Salam perkenalan…

Jemari saya bagai direntap-rentap saat menulis warkah untuk saudara. Saya kira ini adalah di luar kelaziman seorang perawan seperti saya. Tidak salah, kan? Saya tidak pernah jatuh hati, malah kata-kata itu tidak pernah melintas di benak. Kendati pun teman-teman bergilir-gilir pasangan, hati saya tidak pernah ditebak rasa cemburu. Saya semakin tekun menelaah nota-nota kuliah, rasa tidak terjejas. Saya masih normal sahaja…

Saya memasang tekad, warkah ini mesti segera sampai kepada saudara. Apa saudara sudi menyambut salam perkenalan ini, yang saya kirimkan dengan rasa mengharap yang masih meluap-luap?

Saya ingin berkongsi rasa ini, yang menghias pundak jiwa? Biarlah minit-minit hidup saya yang seterusnya dapat saya isi dengan rasa puas. Tidaklah datang sesal yang bertimpa-timpa dalam diri. Kesal kerana apa? Kesal kerana tidak dapat memaparkan rasa hati pada saudara. Pertama kali saudara saya lihat…….

Berkali-kali mata Faiz tertuntas pada bait-bait kata yang tertera di warkah biru berbau wangi itu. Serasa pengirimnya seorang wanita yang cukup ayu, penuh nilai tradisi tetapi sangat berani meluah isi hati! Rasanya yang sejuta terlakar di lembar kertas yang bisu. Faiz menghidu keharuman warkah, wakil rasa hati yang entah dari gadis mana. Kalau boleh, sekarang juga dia ingin tahu siapa gerangan gadis manis yang berani menitip warkah. Siapa agaknya? Telahan demi telahan melintas di benak. Bagai terngiang-ngiang kata-kata Adham, rakan sekuliahnya tadi.
‘ Iz….entah-entah Soraya tak?’ Kata-kata Adham terus merangsang deria ingin tahunya. Betulkah Soraya, gadis yang paling berani melunaskan bicara dan idea di hadapan pensyarah dan rakan-rakan sekuliah? Kata-kata Soraya adakala bernas tetapi cukup berbisa. Panahannya tepat pada sasar. Matanya yang menikam cukup menggetarkan sukma. Dia jarang tersenyum. Kecantikannya terselindung di balik kaca mata yang tebal. Serta-merta Faiz terbayang figura Soraya. Orangnya tinggi lampai, bertudung litup. Blaus yang dipakai seringkali menarik perhatian. Soraya kerap memakai blaus pink sewaktu menghadiri kuliah. Dia nampak bersahaja tetapi matang dengan caranya yang tersendiri. Hujahnya selalu menyelar hingga Faiz sendiri tercabar! Gadis Soraya ini bukan alang-alang orangnya…
‘Tak mungkin dia…..mungkin orang lain.’ Faiz mula membuka ruang fikir. Mengingatkan dia pernah berdebat dengan Soraya sehingga terpaksa dileraikan Professor Adnan, bayangan Soraya terus dipadamkan daripada terus membidik ingatan. Faiz menghela nafas panjang.
‘ Tak mungkin Soraya.’ Kata terakhir melintas di benak. Faiz terus membaca warkah itu. Sudah hampir lunyai surat itu dibacanya sejak tadi. Frasa-frasa terpilih, kata-kata yang indah. Tentu pemiliknya pandai bermain kata-kata. Lalu diterbitkan melalui hujung pena. Termuntah di kertas yang bisu. Dan terlakar menjadi bait-bait yang indah. Mata Faiz terus menyorot pada tulisan yang tertera. Halus dan cukup teliti. Tulisannya satu-persatu, menggambarkan si penulis seorang yang amat cermat.
“ Mungkin Zara kot?” Adham menepuk belakang Faiz. Serentak, Faiz melarikan anak matanya daripada terus fokus pada surat itu. Disorokkan surat itu di bawah bantal yang sudah kumal. Adham tersenyum-senyum.
“ Kau ni tak reti bagi salam ke?” Faiz menggeleng beberapa kali, sebal dengan sikap Adham yang selalu masuk ke biliknya secara mengejut.
“ Serius……” Senyum Adham tertahan-tahan.
“ Apa yang seriusnya?” Faiz menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Matanya tertancap pada Adham yang masih juga tersengih di birai katil.
“ Isi surat tu dah curi isi hati kawan aku ni.” Tawa Adham meledak. Faiz memasamkan muka. Dibalingnya Adham dengan bantal kumal, tempat dia menyorokkan warkah gadis misteri. Adham pantas mengelak sambil tergelak-gelak. Tidak sia-sia dia belajar ilmu silat. Masa inilah dia boleh aplikasikan ilmu daripada Tok guru…
“Tak payahlah kau nak sorok surat tu…aku pun nak baca jugak.” Adham terus mencapai surat itu di atas katil Faiz. Mata Faiz membulat. Ish…ish. Adham ni betul-betul nak kena penangan taekwando Faiz. Bukan dia tak ingat. Faiz pemegang tali pinggang hitam dalam taekwando sedangkan dia baharu dua hari mendaftar sebagai ahli dalam persatuan silat….
‘ Memang nahaslah dia kalau baca surat tu.’ Faiz mengetap bibir. Spontan surat itu dirampasnya di tangan Adham. Terkocoh-kocoh surat itu disembunyikan di dalam loker. Sifat inkuiri Adham benar-benar mencabar kesabarannya yang memang nipis.
Adham mengjongket bahu, rasa puas mengisi ruang dada kerana dapat mengenakan Faiz. Buat kali pertama dia dapat melihat reaksi Faiz . Baharu sahaja dia acu dengan gertakan, Faiz sudah menggelabah. Sebelum ini, sahabatnya itu tidak pernah berbicara soal hati. Apa lagi cinta. Faiz dan cinta, cukup berbeza haluan. Hatinya puas bila melihat wajah Faiz yang putih bertukar kemerahan. Rasa malu meronta-ronta daripada riak wajah itu. Mungkin pemilik surat itu sudah berjaya menjagakan temannya itu dari dunia ilusi yang tidak bertepi…..
“ Kau balaslah saja surat tu. Kesian dia ternanti-nanti.” Adham tersenyum nipis.
“ Macam mana nak balas…alamat dia pun tak taruk.” Faiz memberi alasan. Si penulis warkah pun dia tidak tahu, apa lagi mahu menitip balasan. Pada siapa? Pada Soraya? Gadis berhati besi yang berpelurukan kata-kata. Entah kan Soraya entahkan tidak yang menulis warkah itu…
“ Itu pun aku nak kena bagitahu ke? Kau letak jelah bawah meja, tempat dia letak surat tu kat kau. Ada faham?” Adham mengjongket kening. Perlahan-lahan Faiz mengangguk. Mengiyakan kata-kata Adham. Kadang-kadang bernas juga idea teman yang seorang itu.
“ Jangan bimbang…aku boleh tolong tulis surat yang kaw-kaw. Kau bagi je aku baca surat dia tu?” Adham mengatur langkah ke arah loker Faiz yang berdekatan dengan meja studi. Dia lebih banyak menghabiskan masa di bilik Faiz daripada biliknya sendiri. Semua ‘roommate’ Adham kaki studi. Dia sendiri rimas melihat cara belajar rakan-rakan sebilik. Mujurlah dia tidak menekan diri seperti itu. Belajar…belajar…belajar, itu sahaja
yang mereka tahu.
“ Jangan harap!” Faiz buru-buru menghadang laluan Adham.
“ Sahabat aku dah jadi terlalu berkira nih!” Adham pura-pura kompelin. Tawanya lebar menampakkan barisan gigi yang teratur.
“ Aku berkira cuma dengan penyibuk seperti kau!” Faiz turut tertawa. Tawanya lepas, menampakkan matanya yang sepet. Dibetul-betulkan kaca mata yang terletak. Dia tahu Adham tidak serius. Bukan sehari dua mereka berkawan. Dia cukup mengenal Adham luar dan dalam. Adham selalu menghiburkan dengan leluconnya. Kata-katanya adakala masuk akal dan cukup membantu saat dalam kegalauan.
“ Tulislah surat tu. Aku yakin gadis tu takkan jadi misteri lagi nanti.” Adham memulas tombol pintu. Suaranya melengking. Faiz terangguk-angguk. Adham cukup serius dalam menitip warkah buat gadis misteri itu.
“ Aku gi dulu. Jumpa nanti!”


Salam perkenalan…
Buat saudari yang misteri. Ada baiknya jika saudari muncul memperkenalkan diri di alam nyata. Saya kira, itu lebih bermakna buat diri saya.

Huh…apa lagi nak ditulis. Faiz menarikan pen di tangan. Jari-jemarinya menguis kertas di atas meja. Faiz sudah kehilangan idea. Dia tidak biasa bermain kata-kata. Apa lagi kata bermadah yang berselimutkan pujangga.
“ Nantilah….banyak lagi nak studi.” Faiz mencapai buku ‘ History of Russia’. Di mana dia berhenti tempoh hari ya? Oh ya…..Rasputin. Lelaki misteri yang gila seks dan berjaya menyembuhkan penyakit putera Russia. Rasputin yang berjaya meraih kepercayaan permaisuri kerana kesembuhan puteranya yang hampir maut. Rasputin yang tidak lut ditikam. Faiz meneliti baris demi baris.

Salam untuk saudara….
10.5.1994

Pertama kali saudara saya lihat, hati saya yang kosong terus terisi. Entah mengapa, hati saya tertarik dengan penampilan saudara yang cukup sederhana. Saat saudara menyebak rambut, saya jadi terkesima. Saat saudara menguntum senyum, saya jadi terpana. Lesung pipit saudara terlalu manis menghias kedua belah pipi. Saudara nak tahu? Ada juga beberapa orang siswi yang menuji-muji lesung pipit dan keterampilan saudara. Tahu apa reaksi saya pula? Separuh hati saya menghimpun rasa bangga…dan yang separuh lagi dibakar lahar cemburu yang menebak ruang dada. Saya amat tersiksa. Yang menyenangi saudara…bukanlah saya seorang..

Fuh…..dia lebih pantas rupanya. Tapi betulkah bicara yang dicoretkan di warkah kali ini? Betulkah Faiz ada ramai peminat rahsia yang mencumbui wajah dan personalitinya dalam diam? Faiz dan peminat rahsia yang terus jadi rahsia…...
Buru-buru Faiz memasukkan sampul surat pink itu ke dalam beg usangnya yang sering dibawa ke mana-mana. Sejak pertama kali menjejak kampus Universiti Kebangsaan Malaysia, itulah teman setianya. Faiz kendong beg kumal itu merata-rata. Tidak pernah berganti hingga tahun terakhir.
“ Dapat surat lagilah tu?” Adham menepuk bahunya dari arah belakang ketika baru sahaja dia mengatur langkah menuju ke kafe. Perutnya berkeroncong minta diisi. Sejak semalam dia tidak menelan waima sebutir nasi.
“ Jangan tanya mana aku tahu…..tengok muka pun aku boleh agak.” Adham tersenyum simpul. Macam tahu-tahu saja Adham ni…baharu sahaja dia ingin bertanya tentang hal yang sama.
“ Jom masuk….aku belanja kau makan.” Adham terus menggamitnya. Spontan, senyum Adham berbalas. Adham memang tidak pernah berkira soal belanja makan nih. Kalau dia kehabisan wang, Adhamlah sumber kewangan utama. Belum sempat minta diberi pinjam, Adham yang lebih dahulu menghulur tangan…

“Siapa dia ya?” Faiz terus memikir-mikir. Kelima-lima surat itu ditenungnya dalam-dalam. Tidak lepas-lepas matanya meratah isi surat itu. Baris demi baris. Ayat demi ayat. Di ruang mata, dia mula terbayangkan wajah-wajah teman sekuliah. Seri yang pendiam, Soraya yang bermulut laser, Fika yang selalu serius, Salina yang gemar ketawa. Yang mana satu antara mereka?
“ Mungkinkah Seri? Faiz terus meneka-neka. Otaknya ligat berfikir.
“ Tak mungkinlah…” Faiz cepat-cepat memprotes. Tidak mungkin Seri yang pendiam itu boleh menitipkan kelima-lima surat yang mengusik hatinya. Kelima-lima surat itu dipandangnya satu-persatu. Dihamparnya atas meja studi. Surat yang membuai rasa. Mewakili sejuta rasa hati daripada seorang gadis yang tidak dikenali. Faiz merenung kipas yang berputar ligat. Perhatiannya teralih tiba-tiba pada lelangit kamar. Faiz sudah lelah berfikir….biarlah rasa itu terus menghuni di benaknya. Suatu masa akan tiba saatnya! Rahsia bukan lagi rahsia…

Salam buat saudara…
11.05.1994

Ya….bukan saya seorang yang menyimpan rasa kagum pada peribadi saudara. Saya sering berkongsi cerita dengan teman-teman. Hati saya pada saudara. Lekat pada saudara. Tidak pernah saya terfikir akan jatuh cinta. Tetapi rahsia ini terus kekal di dalam rahsia. Tidak saya khabarkan rasa ini pada teman-teman.
Saudara…
Antara teman-teman, saya kira ada seorang yang betul-betul mencintai saudara dalam diam. Tahu bagaimana saya tahu? Saya pernah menguji dia. Saya katakan yang saudara ditimpa kecelakaan. Saya lihat dia terus resah. Sikapnya tidak seperti biasa. Wajahnya jelas bersalut duka. Simpati saya tumpah mencurah-curah. Lalu, saya khabarkan yang sebenarnya. Baharulah dia boleh bergurau-senda seperti biasa. Baharulah dia mampu tersenyum. Baharulah saya dapat melihat lesung pipit di kedua belah pipinya. Tidak jauh bezanya seperti saudara. Saling tidak tumpah.
Tidakkah saudara boleh melihat dari kaca mata lahiriah? Siapa dia?

Melihat dari kaca mata lahiriah? Apakah dia sendiri yang tidak membuka semua deria sehingga jadi buta, pekak dan bisu pada alam sekeliling? Faiz terus membaca surat itu sepintas lalu. Dia tersindir….

Sekeping lagi surat menambah koleksi yang kelima. Surat yang keenam ini benar-benar membuat dia berfikir. Siapa penulis surat ini? Siapa pula gadis berlesung pipit yang dimaksudkannya? Dia tahu….esok dia terpaksa membelek pipi semua siswi sekuliahnya. Mencari-cari lesung pipit itu!
“ Ad…kau kena tolong aku cari orang yang tulis surat ni.” Faiz bingkas bangun daripada katil bila sahaja Adham menguak pintu kamar. Adham senyum lebar. Pasti fikiran Faiz menerawang jauh pada pengirim surat misteri sejak beberapa hari yang lalu. Telahannya memang benar. Senyumnya tambah lebar bila Faiz menghulurkan kelima-lima pucuk surat yang sebelum ini diharamkan untuk dia menyentuhnya.
“ Fulamak…ayat dia ‘power’ gila tu.” Adham terus membulatkan mata.
“ Patutlah kawan aku tidur tak lena.” Adham menyambung kata sambil menepuk bahu Faiz beberapa kali.
“ Bila masa aku jatuh hati…..nak tahu je.” Faiz pantas memprotes. Riak kurang senang jelas terpancar. Adham menggeleng-geleng. Senyumannya masih mengembang.
“ Itu pun nak nafi lagi….aku kenal kau la kawan.”
“ Nak tolong aku tak?” Faiz sengaja mengeraskan nada suaranya.
“ Ok….set. Aku mesti tolong kau.” Adham membuat janji.
“ Pertama sekali…kita ‘check’ni tulisan siapa.” Adham menunjukkan ibu jarinya. Faiz mengangguk-ngangguk, memang itulah yang direncanakannya kalau pun Adham tidak mengesyorkan.

“Hari ni pun kau dapat?” Adham meminta kepastian sebaik sahaja melihat mimikmuka Faiz. Spontan, Faiz mengangguk perlahan. Sekeping surat setiap hari. Rasa hati yang sama. Ada gusar mula bertamu. Mungkinkah gadis ini cuba menduga? Mungkin juga sekadar menebak rasa?

Salam buat saudara…
12.05.1994

Saya ingin menyusun sepuluh jari kiranya kehadiran warkah ini menggangu ketenangan saudara. Ada kisah yang saya ingin kongsi lagi. Betulkah saudara tidak nampak siapa gadis yang saya maksudkan? Atau saudara sekadar ingin berteka-teki dengan diri sendiri. Yang jelas…yang nyata..dan tertera, bukan lagi satu teka-teki yang harus dirombak satu-persatu.
Saya paling cemburukan dia. Kerana ciri kewanitaan yang terserlah. Renunglah ke dalam matanya yang bening. Warna matanya yang coklat cair itu memancarkan cinta yang tidak terperi. Cahayanya sampai ke hati saya. Belum sampaikah ke hati saudara?
Saya hanya rela jika gadis berlesung pipit dan bermata coklat cair itu yang meraih cinta saudara. Bagaimana tawaran saya? Hebat kan?

Faiz menggaru kepala yang tidak gatal. Beberapa kali dia mengeluh berat. Seolah melepaskan beban rasa yang mengisi pundak. Telah dia kaji kesemua siswi dalam dewan kuliah. Tidak seorang pun yang berlesung pipit dan bermata coklat cair! Betul….dia belek pipi semua siswi. Perhati juga ke dalam mata mereka ketika berbicara. Malah menurut Adham, tulisan dalam surat-surat itu tidak menyerupai semua tulisan milik siswi. Jadi, takkan pula siswa!
“ Jangan peningkan kepala kau.” Adham masih menyuap makanan.

No comments:

Post a Comment