Monday, June 22, 2009

lembar duka Hana

LEMBAR DUKA HANA…

Salam perkenalan…

Jemari saya bagai direntap-rentap saat menulis warkah untuk saudara. Saya kira ini adalah di luar kelaziman seorang perawan seperti saya. Tidak salah, kan? Saya tidak pernah jatuh hati, malah kata-kata itu tidak pernah melintas di benak. Kendati pun teman-teman bergilir-gilir pasangan, hati saya tidak pernah ditebak rasa cemburu. Saya semakin tekun menelaah nota-nota kuliah, rasa tidak terjejas. Saya masih normal sahaja…

Saya memasang tekad, warkah ini mesti segera sampai kepada saudara. Apa saudara sudi menyambut salam perkenalan ini, yang saya kirimkan dengan rasa mengharap yang masih meluap-luap?

Saya ingin berkongsi rasa ini, yang menghias pundak jiwa? Biarlah minit-minit hidup saya yang seterusnya dapat saya isi dengan rasa puas. Tidaklah datang sesal yang bertimpa-timpa dalam diri. Kesal kerana apa? Kesal kerana tidak dapat memaparkan rasa hati pada saudara. Pertama kali saudara saya lihat…….

Berkali-kali mata Faiz tertuntas pada bait-bait kata yang tertera di warkah biru berbau wangi itu. Serasa pengirimnya seorang wanita yang cukup ayu, penuh nilai tradisi tetapi sangat berani meluah isi hati! Rasanya yang sejuta terlakar di lembar kertas yang bisu. Faiz menghidu keharuman warkah, wakil rasa hati yang entah dari gadis mana. Kalau boleh, sekarang juga dia ingin tahu siapa gerangan gadis manis yang berani menitip warkah. Siapa agaknya? Telahan demi telahan melintas di benak. Bagai terngiang-ngiang kata-kata Adham, rakan sekuliahnya tadi.
‘ Iz….entah-entah Soraya tak?’ Kata-kata Adham terus merangsang deria ingin tahunya. Betulkah Soraya, gadis yang paling berani melunaskan bicara dan idea di hadapan pensyarah dan rakan-rakan sekuliah? Kata-kata Soraya adakala bernas tetapi cukup berbisa. Panahannya tepat pada sasar. Matanya yang menikam cukup menggetarkan sukma. Dia jarang tersenyum. Kecantikannya terselindung di balik kaca mata yang tebal. Serta-merta Faiz terbayang figura Soraya. Orangnya tinggi lampai, bertudung litup. Blaus yang dipakai seringkali menarik perhatian. Soraya kerap memakai blaus pink sewaktu menghadiri kuliah. Dia nampak bersahaja tetapi matang dengan caranya yang tersendiri. Hujahnya selalu menyelar hingga Faiz sendiri tercabar! Gadis Soraya ini bukan alang-alang orangnya…
‘Tak mungkin dia…..mungkin orang lain.’ Faiz mula membuka ruang fikir. Mengingatkan dia pernah berdebat dengan Soraya sehingga terpaksa dileraikan Professor Adnan, bayangan Soraya terus dipadamkan daripada terus membidik ingatan. Faiz menghela nafas panjang.
‘ Tak mungkin Soraya.’ Kata terakhir melintas di benak. Faiz terus membaca warkah itu. Sudah hampir lunyai surat itu dibacanya sejak tadi. Frasa-frasa terpilih, kata-kata yang indah. Tentu pemiliknya pandai bermain kata-kata. Lalu diterbitkan melalui hujung pena. Termuntah di kertas yang bisu. Dan terlakar menjadi bait-bait yang indah. Mata Faiz terus menyorot pada tulisan yang tertera. Halus dan cukup teliti. Tulisannya satu-persatu, menggambarkan si penulis seorang yang amat cermat.
“ Mungkin Zara kot?” Adham menepuk belakang Faiz. Serentak, Faiz melarikan anak matanya daripada terus fokus pada surat itu. Disorokkan surat itu di bawah bantal yang sudah kumal. Adham tersenyum-senyum.
“ Kau ni tak reti bagi salam ke?” Faiz menggeleng beberapa kali, sebal dengan sikap Adham yang selalu masuk ke biliknya secara mengejut.
“ Serius……” Senyum Adham tertahan-tahan.
“ Apa yang seriusnya?” Faiz menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Matanya tertancap pada Adham yang masih juga tersengih di birai katil.
“ Isi surat tu dah curi isi hati kawan aku ni.” Tawa Adham meledak. Faiz memasamkan muka. Dibalingnya Adham dengan bantal kumal, tempat dia menyorokkan warkah gadis misteri. Adham pantas mengelak sambil tergelak-gelak. Tidak sia-sia dia belajar ilmu silat. Masa inilah dia boleh aplikasikan ilmu daripada Tok guru…
“Tak payahlah kau nak sorok surat tu…aku pun nak baca jugak.” Adham terus mencapai surat itu di atas katil Faiz. Mata Faiz membulat. Ish…ish. Adham ni betul-betul nak kena penangan taekwando Faiz. Bukan dia tak ingat. Faiz pemegang tali pinggang hitam dalam taekwando sedangkan dia baharu dua hari mendaftar sebagai ahli dalam persatuan silat….
‘ Memang nahaslah dia kalau baca surat tu.’ Faiz mengetap bibir. Spontan surat itu dirampasnya di tangan Adham. Terkocoh-kocoh surat itu disembunyikan di dalam loker. Sifat inkuiri Adham benar-benar mencabar kesabarannya yang memang nipis.
Adham mengjongket bahu, rasa puas mengisi ruang dada kerana dapat mengenakan Faiz. Buat kali pertama dia dapat melihat reaksi Faiz . Baharu sahaja dia acu dengan gertakan, Faiz sudah menggelabah. Sebelum ini, sahabatnya itu tidak pernah berbicara soal hati. Apa lagi cinta. Faiz dan cinta, cukup berbeza haluan. Hatinya puas bila melihat wajah Faiz yang putih bertukar kemerahan. Rasa malu meronta-ronta daripada riak wajah itu. Mungkin pemilik surat itu sudah berjaya menjagakan temannya itu dari dunia ilusi yang tidak bertepi…..
“ Kau balaslah saja surat tu. Kesian dia ternanti-nanti.” Adham tersenyum nipis.
“ Macam mana nak balas…alamat dia pun tak taruk.” Faiz memberi alasan. Si penulis warkah pun dia tidak tahu, apa lagi mahu menitip balasan. Pada siapa? Pada Soraya? Gadis berhati besi yang berpelurukan kata-kata. Entah kan Soraya entahkan tidak yang menulis warkah itu…
“ Itu pun aku nak kena bagitahu ke? Kau letak jelah bawah meja, tempat dia letak surat tu kat kau. Ada faham?” Adham mengjongket kening. Perlahan-lahan Faiz mengangguk. Mengiyakan kata-kata Adham. Kadang-kadang bernas juga idea teman yang seorang itu.
“ Jangan bimbang…aku boleh tolong tulis surat yang kaw-kaw. Kau bagi je aku baca surat dia tu?” Adham mengatur langkah ke arah loker Faiz yang berdekatan dengan meja studi. Dia lebih banyak menghabiskan masa di bilik Faiz daripada biliknya sendiri. Semua ‘roommate’ Adham kaki studi. Dia sendiri rimas melihat cara belajar rakan-rakan sebilik. Mujurlah dia tidak menekan diri seperti itu. Belajar…belajar…belajar, itu sahaja
yang mereka tahu.
“ Jangan harap!” Faiz buru-buru menghadang laluan Adham.
“ Sahabat aku dah jadi terlalu berkira nih!” Adham pura-pura kompelin. Tawanya lebar menampakkan barisan gigi yang teratur.
“ Aku berkira cuma dengan penyibuk seperti kau!” Faiz turut tertawa. Tawanya lepas, menampakkan matanya yang sepet. Dibetul-betulkan kaca mata yang terletak. Dia tahu Adham tidak serius. Bukan sehari dua mereka berkawan. Dia cukup mengenal Adham luar dan dalam. Adham selalu menghiburkan dengan leluconnya. Kata-katanya adakala masuk akal dan cukup membantu saat dalam kegalauan.
“ Tulislah surat tu. Aku yakin gadis tu takkan jadi misteri lagi nanti.” Adham memulas tombol pintu. Suaranya melengking. Faiz terangguk-angguk. Adham cukup serius dalam menitip warkah buat gadis misteri itu.
“ Aku gi dulu. Jumpa nanti!”


Salam perkenalan…
Buat saudari yang misteri. Ada baiknya jika saudari muncul memperkenalkan diri di alam nyata. Saya kira, itu lebih bermakna buat diri saya.

Huh…apa lagi nak ditulis. Faiz menarikan pen di tangan. Jari-jemarinya menguis kertas di atas meja. Faiz sudah kehilangan idea. Dia tidak biasa bermain kata-kata. Apa lagi kata bermadah yang berselimutkan pujangga.
“ Nantilah….banyak lagi nak studi.” Faiz mencapai buku ‘ History of Russia’. Di mana dia berhenti tempoh hari ya? Oh ya…..Rasputin. Lelaki misteri yang gila seks dan berjaya menyembuhkan penyakit putera Russia. Rasputin yang berjaya meraih kepercayaan permaisuri kerana kesembuhan puteranya yang hampir maut. Rasputin yang tidak lut ditikam. Faiz meneliti baris demi baris.

Salam untuk saudara….
10.5.1994

Pertama kali saudara saya lihat, hati saya yang kosong terus terisi. Entah mengapa, hati saya tertarik dengan penampilan saudara yang cukup sederhana. Saat saudara menyebak rambut, saya jadi terkesima. Saat saudara menguntum senyum, saya jadi terpana. Lesung pipit saudara terlalu manis menghias kedua belah pipi. Saudara nak tahu? Ada juga beberapa orang siswi yang menuji-muji lesung pipit dan keterampilan saudara. Tahu apa reaksi saya pula? Separuh hati saya menghimpun rasa bangga…dan yang separuh lagi dibakar lahar cemburu yang menebak ruang dada. Saya amat tersiksa. Yang menyenangi saudara…bukanlah saya seorang..

Fuh…..dia lebih pantas rupanya. Tapi betulkah bicara yang dicoretkan di warkah kali ini? Betulkah Faiz ada ramai peminat rahsia yang mencumbui wajah dan personalitinya dalam diam? Faiz dan peminat rahsia yang terus jadi rahsia…...
Buru-buru Faiz memasukkan sampul surat pink itu ke dalam beg usangnya yang sering dibawa ke mana-mana. Sejak pertama kali menjejak kampus Universiti Kebangsaan Malaysia, itulah teman setianya. Faiz kendong beg kumal itu merata-rata. Tidak pernah berganti hingga tahun terakhir.
“ Dapat surat lagilah tu?” Adham menepuk bahunya dari arah belakang ketika baru sahaja dia mengatur langkah menuju ke kafe. Perutnya berkeroncong minta diisi. Sejak semalam dia tidak menelan waima sebutir nasi.
“ Jangan tanya mana aku tahu…..tengok muka pun aku boleh agak.” Adham tersenyum simpul. Macam tahu-tahu saja Adham ni…baharu sahaja dia ingin bertanya tentang hal yang sama.
“ Jom masuk….aku belanja kau makan.” Adham terus menggamitnya. Spontan, senyum Adham berbalas. Adham memang tidak pernah berkira soal belanja makan nih. Kalau dia kehabisan wang, Adhamlah sumber kewangan utama. Belum sempat minta diberi pinjam, Adham yang lebih dahulu menghulur tangan…

“Siapa dia ya?” Faiz terus memikir-mikir. Kelima-lima surat itu ditenungnya dalam-dalam. Tidak lepas-lepas matanya meratah isi surat itu. Baris demi baris. Ayat demi ayat. Di ruang mata, dia mula terbayangkan wajah-wajah teman sekuliah. Seri yang pendiam, Soraya yang bermulut laser, Fika yang selalu serius, Salina yang gemar ketawa. Yang mana satu antara mereka?
“ Mungkinkah Seri? Faiz terus meneka-neka. Otaknya ligat berfikir.
“ Tak mungkinlah…” Faiz cepat-cepat memprotes. Tidak mungkin Seri yang pendiam itu boleh menitipkan kelima-lima surat yang mengusik hatinya. Kelima-lima surat itu dipandangnya satu-persatu. Dihamparnya atas meja studi. Surat yang membuai rasa. Mewakili sejuta rasa hati daripada seorang gadis yang tidak dikenali. Faiz merenung kipas yang berputar ligat. Perhatiannya teralih tiba-tiba pada lelangit kamar. Faiz sudah lelah berfikir….biarlah rasa itu terus menghuni di benaknya. Suatu masa akan tiba saatnya! Rahsia bukan lagi rahsia…

Salam buat saudara…
11.05.1994

Ya….bukan saya seorang yang menyimpan rasa kagum pada peribadi saudara. Saya sering berkongsi cerita dengan teman-teman. Hati saya pada saudara. Lekat pada saudara. Tidak pernah saya terfikir akan jatuh cinta. Tetapi rahsia ini terus kekal di dalam rahsia. Tidak saya khabarkan rasa ini pada teman-teman.
Saudara…
Antara teman-teman, saya kira ada seorang yang betul-betul mencintai saudara dalam diam. Tahu bagaimana saya tahu? Saya pernah menguji dia. Saya katakan yang saudara ditimpa kecelakaan. Saya lihat dia terus resah. Sikapnya tidak seperti biasa. Wajahnya jelas bersalut duka. Simpati saya tumpah mencurah-curah. Lalu, saya khabarkan yang sebenarnya. Baharulah dia boleh bergurau-senda seperti biasa. Baharulah dia mampu tersenyum. Baharulah saya dapat melihat lesung pipit di kedua belah pipinya. Tidak jauh bezanya seperti saudara. Saling tidak tumpah.
Tidakkah saudara boleh melihat dari kaca mata lahiriah? Siapa dia?

Melihat dari kaca mata lahiriah? Apakah dia sendiri yang tidak membuka semua deria sehingga jadi buta, pekak dan bisu pada alam sekeliling? Faiz terus membaca surat itu sepintas lalu. Dia tersindir….

Sekeping lagi surat menambah koleksi yang kelima. Surat yang keenam ini benar-benar membuat dia berfikir. Siapa penulis surat ini? Siapa pula gadis berlesung pipit yang dimaksudkannya? Dia tahu….esok dia terpaksa membelek pipi semua siswi sekuliahnya. Mencari-cari lesung pipit itu!
“ Ad…kau kena tolong aku cari orang yang tulis surat ni.” Faiz bingkas bangun daripada katil bila sahaja Adham menguak pintu kamar. Adham senyum lebar. Pasti fikiran Faiz menerawang jauh pada pengirim surat misteri sejak beberapa hari yang lalu. Telahannya memang benar. Senyumnya tambah lebar bila Faiz menghulurkan kelima-lima pucuk surat yang sebelum ini diharamkan untuk dia menyentuhnya.
“ Fulamak…ayat dia ‘power’ gila tu.” Adham terus membulatkan mata.
“ Patutlah kawan aku tidur tak lena.” Adham menyambung kata sambil menepuk bahu Faiz beberapa kali.
“ Bila masa aku jatuh hati…..nak tahu je.” Faiz pantas memprotes. Riak kurang senang jelas terpancar. Adham menggeleng-geleng. Senyumannya masih mengembang.
“ Itu pun nak nafi lagi….aku kenal kau la kawan.”
“ Nak tolong aku tak?” Faiz sengaja mengeraskan nada suaranya.
“ Ok….set. Aku mesti tolong kau.” Adham membuat janji.
“ Pertama sekali…kita ‘check’ni tulisan siapa.” Adham menunjukkan ibu jarinya. Faiz mengangguk-ngangguk, memang itulah yang direncanakannya kalau pun Adham tidak mengesyorkan.

“Hari ni pun kau dapat?” Adham meminta kepastian sebaik sahaja melihat mimikmuka Faiz. Spontan, Faiz mengangguk perlahan. Sekeping surat setiap hari. Rasa hati yang sama. Ada gusar mula bertamu. Mungkinkah gadis ini cuba menduga? Mungkin juga sekadar menebak rasa?

Salam buat saudara…
12.05.1994

Saya ingin menyusun sepuluh jari kiranya kehadiran warkah ini menggangu ketenangan saudara. Ada kisah yang saya ingin kongsi lagi. Betulkah saudara tidak nampak siapa gadis yang saya maksudkan? Atau saudara sekadar ingin berteka-teki dengan diri sendiri. Yang jelas…yang nyata..dan tertera, bukan lagi satu teka-teki yang harus dirombak satu-persatu.
Saya paling cemburukan dia. Kerana ciri kewanitaan yang terserlah. Renunglah ke dalam matanya yang bening. Warna matanya yang coklat cair itu memancarkan cinta yang tidak terperi. Cahayanya sampai ke hati saya. Belum sampaikah ke hati saudara?
Saya hanya rela jika gadis berlesung pipit dan bermata coklat cair itu yang meraih cinta saudara. Bagaimana tawaran saya? Hebat kan?

Faiz menggaru kepala yang tidak gatal. Beberapa kali dia mengeluh berat. Seolah melepaskan beban rasa yang mengisi pundak. Telah dia kaji kesemua siswi dalam dewan kuliah. Tidak seorang pun yang berlesung pipit dan bermata coklat cair! Betul….dia belek pipi semua siswi. Perhati juga ke dalam mata mereka ketika berbicara. Malah menurut Adham, tulisan dalam surat-surat itu tidak menyerupai semua tulisan milik siswi. Jadi, takkan pula siswa!
“ Jangan peningkan kepala kau.” Adham masih menyuap makanan.

Friday, June 19, 2009

Tamatkan kisah kami-1



Namaku Adeeba Hanim binti Zukri. Abah yang memberikan nama yang indah itu. Katanya, wajah comelku sewaktu kecil cocok sekali dengan nama itu. Kata ma, abah kata begitu sebab wajahku mirip sekali dengan abah. Aku cuma mewarisi bentuk muka ma, yang lain-lainnya yang tercatuk di wajahku, semua mirip abah. Abah senang memanggilku ‘Manja’. Ma juga begitu. Nama itu lekat sehingga usiaku kini mencecah 23 tahun. Terkadang terbit juga rasa segan dengan rakan-rakan tatkala ma selalu menggamitku dengan panggilan itu. Tapi kata ma….Manja itu memang aku. Dan aku adalah Manja itu. Maka aku belajar membahasakan diriku dengan nama itu, tanpa rasa malu-malu lagi malah adakala rasa bangga menyelinap relung-relung hatiku bila abah dan ma memanggil aku begitu. Terasa diri lebih disayangi. Bukan kerana aku satu-satunya cahaya mata mereka, tetapi panggilan itu terasa begitu dekat menyelit ke hati. Panggilan itu tambah mendekatkan hati-hati kami yang memang selalu berpadu itu. Sejak pemergian abah, ma selalu termenung. Kadang-kadang ma duduk bersendirian di serambi dengan matanya yang bergenang. Ma selalu juga tersilap memanggil abah..

“ Manja, ma dah masak. Ajak abah makan sekali!” Ma melaung dari arah dapur. Aku tersentak. Setakat ini, sudah tak terhitung dengan jari berapa kali ma tersilap memanggil abah. Aku tahu, ma sunyi. Selalunya abah suka berlelucon. Abah suka menyakat ma yang pantang diusik itu. Pulang dari kerja, abah akan terus meluru mencari ma. Abah akan terus memeluk ma dari arah belakang, memuji-muji ma dengan senyum yang melebar. Abah memang peramah. Tetapi ramah abah selalu dengan ma saja. Kalau di luar, abah pendiam betul orangnya. Abah suka senyum-senyum saja bila ma berbicara dengan para tamu. Abah memilih diam, kadang-kadang aku perhatikan abah ralit memerhatikan ma yang memang selalu banyak cakap itu. Ma memang terlalu disayangi dengan sikapnya yang ramah-tamah. Sikap ma yang kukira membuat abah jatuh cinta sampai tak tidur berhari-hari. Itu kata ma lah…

Aku membiarkan ma dalam ruangnya sendiri. Memang itu yang ma butuhkan. Sewaktu bercakap-cakap dengan aku, kadang-kadang air mata ma terus bergenang. Ma akan menyeka manik-manik jernih itu dengan hujung jari. Aku hanya mampu memerhati dengan pandangan lirih. Tahu benar rasa hati yang terbekam di dada ma. Ma rindu sungguh pada abah.

Dan aku masih tetap dengan rutinku. Menulis dan terus menulis. Aku, pen dan kertas memang tidak dapat dipisahkan. Aku suka menulis dan kata ma, aku tidak mewarisinya daripada sesiapa. Ma suka berkebun, suka melihat bunga-bunga yang berkembang di taman ma sendiri. Abah suka bersukan. Aku pula selalu duduk mengadap laptop, melampiskan rasa hati di dada skrin untuk kujadikan sebuah ceritera! Cerita kanak-kanak yang bisa menghiburkan hati mereka…

Aku suka menulis cerita kanak-kanak yang menghiburkan dirimu juga. Kadang-kadang, aku senyum sendiri bila cerita-cerita itu mencuit hatiku. Adeeba Hanim bt Zukri memang sinonim dengan cerita kanak-kanak. Aku sudah menghasilkan tiga buah novel kanak-kanak yang khabarnya mendapat sambutan yang baik juga. Waktu abah masih hidup, aku selalu menghabiskan masa dengannya di beranda, juga ditemani kopi panas buatan ma yang memang sedap. Menyisip kopi buatan ma waktu malam-malam begini…memang waktu yang ternikmat dalam hidup! Abah memang selalu menitipkan idea waktu mindaku kekeringanku. Ruang minda terasa pengap. Abahku rupa-rupanya berbakat juga dalam merangka cerita. Kadang-kadang terbit rasa kagum pada abah yang selalu setia menemaniku waktu aku duduk mencari idea di beranda rumah berjam-jam lamanya! Terima kasih abah…

Sunday, June 14, 2009

TETAMU TAK DIUNDANG

" Akak camana nak buat lakonan ni?Tak ada idea la." Hafizi membetulkan letak cermin matanya. Nampak benar dia resah. Safa dan Ina menggulum senyum. Tercuit dengan gelagat Hafizi. Syahmi, Adham dan Fakri terkebil-kebil memandang mereka berdua. Sejak tadi hanya Hafizi sahaja yang bersuara. Yang lain semuanya asyik menconteng kertas. Entah apa yang dilakar mereka. Adakala mereka mengangguk-ngangguk tanpa tahu hujung pangkal cerita. Hafizi terus menggaru-garu kepala.

" Syahmi, Fakri ngan Adham tak ada idea ke? Dari tadi akak tengok senyap je." Ina tiba-tiba mencelah. Syahmi menunduk, Adham cuma tersenyum-senyum. Fakri langsung tidak menunjukkan apa-apa reaksi.

" Tak payah tanya diorang kak...budak kelas hujung mana boleh bagi idea." Hafizi tersengih. Safa mengerlingnya tajam. Ina menunjukkan riak wajah kurang senang.

" Syahmi suka tengok citer ape?" Safa menguntum senyum. Syahmi takut-takut. Hampir sahaja suaranya tidak keluar. Tersekat di kerongkong. Apa pula yang tidak kena dengan kakak berdua ni? Sebelum ini mereka tidak kisah pun kalau dia tidak bercakap. Mereka sudah tahu 'peelnya'. Abang Anas pun tidak pernah memaksa. Syahmi menelan liur.

" Citer bunuh-bunuh..." Gagap Syahmi bersuara. Tidak berani dia menentang mata Safa.
" Kenapa?" Giliran Ina pula bertanya.
" Sebab bapak die masuk jel kak. Bapak dier orang jahat!" Hafizi mencelah.
" Hish...ader akak tanya kamu?" Safa meninggikan suara. Geram dengan sikap Hafizi yang suka merendahkan orang lain. Inikah yang diterapkan dalam persatuan? Hafizi mencebir bibir. Tiba-tiba dia terus diam. Hafizi tunduk ke bawah. Jari-jemarinya menguis tanah. Tingkahnya berubah 180 darjah daripada tadi.
" Kakak nak setiap seorang bagi idea. Kalau sape tak bagi, akak akan denda."Safa dan Ina saling berpandangan. Keduanya mengangguk serentak.
" Ok...apa tunggu lagi. Kita mesti kalahkan kumpulan lain." Safa cuba meniupkan semangat pada mereka. Ketiga-tiganya mengangguk. Kecuali Hafizi...

" Apa Safa dan Ina dah buat pada mereka?" Abang Anas mengerutkan dahi. Dia seperti tidak percaya melihat lakonan Syahmi, Adham dan Fakri. Ketiga-tiganya petah berkata-kata. Syahmi berlagak sebagai pegawai polis yang terpaksa menangkap Adham, anak kandungnya sendiri. Azrina menggosok-gosok mata. Dia juga seperti abang Anas. Kebiasaannya, mereka bertiga tidak pernah bersuara. Cuma mengangguk dan menggeleng bila ditanya. Syahmi rasa rendah diri bila teman-teman menghina bapanya. Fakri pula masih trauma dengan kemalangan yang menimpa abangnya. Adham memang pendiam sejak azali lagi. Kata ibunya, di rumah pun dia begitu.

" Abang...ok tak?" Fakri mengunjukkan ibu jari. Dia senyum lebar.
" Ok sangat!" Abang Anas menepuk-nepuk bahu Fakri sebaik sahaja selesai lakonan mereka. Semua bertepuk tangan. Adham tersenyum bangga. kali pertama dia diberi peluang menunjukkan kebolehan. Mujur ada Kak Safa dan Kak Ina...pencetus revolusi semangat dalam diri!
" Fizi..kenapa diam aja ni?" Azrina mula tertanya-tanya melihat Hafizi yang sejak tadi membatu.

DENGARKAN CERITAKU-2

Dengarkan ceritaku-2

“ Hani….aku nak pegi surau. Nak Ikut tak?” Aku bingkas bangun. Serentak, bunyi kerusi yang berkeriut menyentakkan lamunannya. Mahunya tak melamun…kekasih keliling pinggang. Belum masuk yang di luar negeri. Tak terhitung kukira. Yalah, orang cantik. Ada darah campuran lagi.

“ Aku cutilah Teja…ko pergilah.” Pantas aku mengangguk, tidak mahu banyak bicara. Hai, minggu sudah pun cuti jugak. Takkan tiap-tiap minggu pun cuti. Hish, Teja…..tak baik berburuk sangka. Mungkin betul dia memang bercuti. Aku beristighfar dalam hati. Langkah kupanjangkan ke arah surau yang terletak tidak jauh dari kelas kami.

Kulihat ramai pelajar sessi petang berduyun-duyun masuk ke perkarangan sekolah. Sakit mataku melihat payung yang bermacam warna. Pink…hijau…biru, ramai budak lelaki yang lokos ditimpa hujan. Yalah budak lelaki mana pakai payung. Payungkan dicipta untuk perempuan!

“ Teja Farhana!” Ops, siapa pula yang laungkan nama penuh aku ni. Spontan, aku berpaling. Dua susuk tubuh berlari-lari mendapatkan aku. Dengan penglihatan yang agak terbatas ( hari ini cermin mataku pecah,atas kecuaian sendiri) , aku cuba mengenal pasti wajah-wajah mereka. Oh…Qayyum dan Fitri. Dua kembar yang tak boleh dipisahkan. Bukannya kembar sedarah sedaging, dua orang ini kami labelkan kembar kerana ke mana sahaja, mereka pasti berdua. Ada juga yang kata mereka ‘gay’. Aduhai manusia( termasuk aku) terlalu suka melabel dan menghukum!

“ Teja…Hani mana?” Fitri cepat-cepat menyoalku. Aku lihat riak wajahnya seperti teruja ketika menyebut nama Hani. Sepasang mata Qayyum turut bercahaya, menunggu jawapan dari ulas bibirku. Sempat juga mataku menikam anak matanya.

“ Ada kat kelas…kami buat perbincangan sikit tadi. Oklah…Qayyum, Fitri….saya nak pegi surau ni. Assalamualaikum.” Buru-buru alku mengatur langkah.

“ Teja…terima kasih!” Fitri sempat melaung. Aku sempat berpaling dan mengangguk. Fitri ni memang suka melaung ke?

Usai kewajipanku, langkah kuatur ke kelas semula. Hujan yang tadinya mengucur beransur menjadi gerimis yang menipis. Alhamdulillah, aku dah boleh pulang nanti…

Amboi, mesranya mereka berdua. Macam pinang dibelah lapan belas. Kenapa hati aku rasa sakit semacam bila melihat kemesraan mereka berdua? Rasa macam jantungku berdegup lebih pantas daripada kadar biasa. Dup…dap..dup..dap..

“ Teja…” Fitri menyapaku yang masih berdiri di muka pintu. Qayyum dan Mohani juga tersentak.

“ Aku beli makanan ni ha, untuk kita. Kenapa tercegat kat sini lagi…jom!” Fitri memandangku yang masih berdiri terpaku di situ. Aku akur tanpa banyak soal.

“ Lama betul ko semayang Teja?” Mohani menegur sambil tangannya lincah menaip mesej.

Saya wirid sekali.” Selamba aku menuturkan.Tercetus tawa kecil dari bibirnya. Eh…apa yang kelakarnya. Betul apa…aku wirid.

“ Wirid tu apa ye?” Mohani tersengih.

“ Kelakar je bunyinya…” Dia menyambung kata. Riak wajahnya selamba. Aku dan Qayyum saling berpandangan. Tidak sempat memanjangkan rasa terkejutku, Fitri menyuakan plastik berisi keropok padaku. Aku pun memang lapar sekarang ni. Rezeki jangan ditolak…

“ Hani..saya nak balik dah. Awak tak nak balik lagi?” Aku bertanya seusai saja menghabiskan keropok yang terakhir.

“ Saya tak balik dengan awak, Teja…Qayyum ‘offer’ balik dengan dia. Kejap lagi ‘driver’ awak jemput. Kan Qayyum?” Suara Mohani ala-ala mengada. Lama lagi aku di situ, semakin tinggi rasa meluatku. Silap-silap boleh menggunung….

Kibar kisah

Teman...
kibarkan kisah.
Tulislah.

DENGARKAN CERITAKU.....1

Hujan masih deras mengucur, membasahi apa sahaja di muka bumi. Berkali-kali langit diterangi kilat, dan siang dipecahkan dengan suara guntur yang lantang. Nampaknya aku kena bertapa di sekolah lagi, menunggu sampai hujan reda. Mujur ada juga temanku hari ini, siapa lagi kalau bukan si cantik Mohani. Saat ini, dia sedang leka membelek telefon bimbit dengan senyum meleret. Kawan aku yang seorang ni bukan makan saman walau pun sudah naik pekak telingaku dicanangkan dengan peraturan sekolah yang tidak membenarkan pelajar membawa telefon bimbit. Selalunya cikgu disiplin yang tegas, Cikgu Nik Ismail yang akan mencanang perkara itu dalam setiap perhimpunan. Berapi-api ucapannya, kalah ahli politik! Itu pun termaktub dalam buku peraturan sekolah. Mohani patut mengulang baca. Kalau aku tegur, dia akan mula tersengih sambil katanya....

" Telefon ni mahal Teja, kalau aku tinggal nanti hilang. Lagi pun papa beli suruh aku guna bukannya tinggal kat umah. Kalau ada apa-apa, boleh terus telefon. Kalau kau nak guna pun boleh. Aku tak berkira pun, kita kan kawan."
Fuh...panjang betul jawapan dia. Siap ada tawaran menarik lagi! Hmmm...nantilah aku fikir-fikirkan.

ISTIKHARAH YANG SATU-3

" Susah betulkan Nuha nak cakap, Nuha sayangkan Hadi?"
" Nuha sayangkan Hadi tak?"Asakan persoalan yang menambahkan keliru Nuha. Terkebil-kebil Nuha melihat reaksi Irfan Hadi yang tiba-tiba itu. Tapi Nuha akui, perkataan itu tidak pernah terbit di bibirnya sejak janji dimeterai lagi. Tidak terhitung rasanya berapa kali dalam sehari, ucapan itu meniti di bibir Irfan. Ucap yang seperti air mengalir. Tanpa sekat-sekat lagi. Hingga Nuha kadang-kadang diterpa rasa malu yang menghimpit, apa lagi di hadapan teman-teman yang suka benar mengusik.
" Nuha...sayang kau tak telefon hari ni?"
" Nuha.....romantik gile pakwe ko tu."
Nuha cuma sekadar senyum berbasa-basi. Sekadar memujuk hati sendiri dan menjaga hati teman-teman sekali gus.
" Nuha dah cakap, kan? Ma ngan babah tak suka Nuha ada komitmen lain masa belajar ni. Nuha ingat Hadi dah faham."Nuha melampiaskan rasa tidak puas hatinya. Biar Irfan tahu, rasa apa yang terbuku di hatinya saat dan tika ini.
" Kita bertunang dulu, Nuha." Irfan masih juga tidak berganjak.
" Hadi ...." Nada suara Nuha sedikit keras.
" Hadi balik dulu...Nuha memang tak pernah faham Hadi!" Spontan, Irfan mencapai kunci kereta dan telefon bimbitnya di atas meja. Wajah Irfan cemberut. Matanya sudah melotot ke arah Nuha. Irfan bingkas bangun.
" Hadi makanlah dulu...kut ye pun." Mendatar suara Nuha. Tiada kuasa menahan Irfan pergi. Nuha sudah masak benar tingkah Irfan yang 'kepala angin'. Degil Irfan tak boleh dilentur. Biar pun oleh senyum Nuha!
" Hilang selera!"
Serentak Nuha melarikan anak matanya. Diseka air mata yang mula bergenang. Kolam mata nuha mula berair. Hujung jari Nuha sudah basah dengan air matanya. Irfan sudah menghilang dari pandangan. Pertemuan Irfan dan Nuha selalu berakhir begitu. Nuha akan menangis...Irfan akan mula naik darah bila kehendaknya yang satu itu tidak dilunasi. Nuha mula memikir-mikir. Kepala Nuha terasa berdenyut-denyut. Berpinar-pinar mata Nuha...

Konsentrasi Nuha terganggu. Sejak tadi muka surat yang dibaca masih sama, tidak berganjak. Jari- jemari Nuha ligat memainkan mata pen. Mata Nuha tertancap pada novel-novel yang dihadiahkan oleh Irfan setiapkali menjelang hari lahir. Judul-judulnya cukup meruntun hati Nuha.
" Sayang seribu kali sayang, Kau yang kumiliki..." Mulut Nuha terkumat-kamit. Serentak bibir nuha melepaskan keluhan. Berat sungguh rasa yang menghuni hati Nuha saat ini...
Baru sekejap tadi, mama menelefon. Kata-kata mama masih terngiang-ngiang di telinga Nuha.
" Nuha...mama Irfan telefon tadi. Cakap pasal Nuha dan Irfan. Dia nak Nuha dengan Irfan diikat dulu. Ma dah banyak kali cakap kat Nuha kan?" Berdesing telinga Nuha sebaik sahaja selesai bicara ma.
" Nuha dah cakap kat dia ma. Nuha tak tahu..." Bicara Nuha terhenti.
" Tunggu habis belajar dulu.....apa-apa pun." Nada suara ma tersangat perlahan.
" Nuha faham, ma."
Nuha cuba untuk melupakan riak wajah Irfan siang tadi. Namun semuanya masih jelas terakam di ingatan Nuha. Wajah Irfan yang dengan persoalan yang tidak putus-putus dibawanya setiapkali mereka bersua empat mata. Hadi nak kahwin Nuha....

Saturday, June 13, 2009

TETAMU TAK DIUNDANG

" Assalamualaikum adik-adik. Hari ni kita buat aktiviti lain sikit daripada minggu lepas. Semuanya kita bagi ikut kumpulan. Adik akan dapat kakak dan abang masing-masing. Dua mentor untuk empat adik. Ok....semua beratur." Abang Anas membuat pengumuman. Adik-adik memang memberi perhatian dan mendengar kata, kalau abang Anas yang cakap. Kalau orang lain yang cakap, liat sikitlah mereka bergerak.
" Cepat sikit...macam tak makan sebulan aja abang tengok!" Abang Anas mula meninggikan nada suaranya. Mereka beratur mengikut kumpulan masing-masing. Abang Anas tersenyum puas. Begitu juga beberapa orang mentor yang lain.
" Bang....ramai pulak mentor yang tak datang. Kesian adik-adik, tak cukup mentor." Azrina meluahkan kesal yang terbuku.
" Ari ni kan hari Ahad...manalah ada orang nak bangun and 'sacrifice' untuk adik-adik. Tidur lagi 'best'" Azrai menunjukkan ibu jarinya. Azrina mencebir bibir. Malas melayan omelan Azrai yang memang 'gila-gila' tu.
" Jadi kau tak ikhlaslah ye." Azrina memulangkan paku buah keras.
" Lagi baik daripada tak datang langsung. Atau datang sebab nak mengorat Anas." Azrai melirikkan mata pada Anas. Semua orang tahu, Azrina memang meminati Anas dalam diam. Serta-merta Azrina memuncungkan bibir. Sakit hatinya dengan kata-kata Azrai.
" Korang berdua...boleh tak berhenti bertekak. Tak sudah-sudahnya bertekak, pantang jumpa." Abang Anas menggeleng kepala beberapa kali. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia kahwinkan dua orang ni. Kalau bergaduh, masing-masing tidak mahu mengalah.
" Nak buat aktiviti apa ni, bang?" Hafizi mula tidak sabar.
" Kita bagi kumpulan dulu. Lepas tu abang cakap." Abang Anas menggulum senyum.
" Fizi....kali ni Fizi jadi mentee kak Safa dan Kak Ina. Safa...Ina, abang amanahkan pada korang ye." Safa dan Ina mengangguk.
" Bang....ala, tak bestlah. Nak dengan abang." Fizi meluahkan rasa tidak puas hati.
" Jangan banyak songeh....dengar cakap abang." Abang Anas berlagak serius. Hampir pecah tawanya melihat riak wajah Hafizi yang cemberut. Nampak benar dia tidak seronok. Safa dan Ina memang pendiam. Ramai adik-adik kompelin, mereka tidak pandai berkomunikasi dan melayan karenah adik-adik.

Kalam berkisah

Kalam...
berkisahlah bahasa aku
yang maknanya cuma satu
dalam cebis bahagiaku
kalam
berkisahlah
aku
dan kau
SATU!

kalut dalam serabut

Aku terlena
di bingkai kisah
dalam catur emosi...
dalam kalut fikir..
Canangkan cerita bahagia
dalam hati bersalut
duka...
kalut...
dalam serabut

Novel kanak-kanak-Dunia cinta mama

Anif duduk diam-diam di 'seat' belakang. Babah terus juga memandu, sedikit pun tidak berkalih pandang pada mama di sebelah. Sesekali babah menyebak rambut. Nampak benar babah tidak senang dengan kehadiran Anif di dalam kereta itu. Anif tahu, babah butuh berdua-duaan dengan mama. Anif cuma menganggu dunia babah yang tenteram....
" Anif.....ceritalah pasal Fifi tu. Bah pun nak dengar jugak. Kan bah?" Mama masih menggesa Anif. Anif terus juga diam. Buat apa dia bercerita, kalau babah tidak bersedia menadah telinga. Perlahan, Anif menerokai dunia ilusinya sendiri. Anif ingin bermain-main dengan Fifi, budak perempuan yang rambutnya selalu bertocang dua. Anif selalu tarik tocang Fifi, sampai dia akan lekas-lekas pulang mengadu pada ibunya yang juga dipanggil 'mama'. Kenapa ada banyak 'mama' dalam dunia ini? Mama Fifi lain dengan mama Anif. Mama Fifi tiada adik dalam perutnya. Mama Fifi selalu masak cekodok untuk Fifi. Sedap betul cekodoknya. Anif terliur. Tapi cekodok mama pun sedap juga. Lebih sedap daripada cekodok 'mama ' Fifi. Sebab ini mama Anif, bukan mama orang lain. Anif bangga dengan mama. Orang selalu panggil mama ' cikgu'. Semua orang pun begitu. Anif masih ingat semasa mama adakan jamuan, sebab babah berjaya naik pangkat. Ramai kakak-kakak dan abang-abang memenuhi ruang tamu mereka yang tidak seluas mana itu. Mama masak nasi tomato dengan ayam masak merah. Semua memuji masakan mama, semuanya makan bertambah. Ada yang bermain-main dengan Anif. Ada yang mencubit pipi gebu Anif. Ada juga yang memeluk tubuh Anif. Anif suka dilayani begitu. Itu tandanya orang sayang padanya. Anif tersenyum-senyum seorang...
" Bah ni kenapa? Dah hilang akal nampaknya...dengan anak sendiri nak buat gaduh!" Mama menutup siaran radio yang sejak tadi berkumandang, memenuhi ruang yang sepi antara mereka. Anif pekup telinga lagi. Kali ini lebih kuat. Anif lihat mama memasamkan wajahnya. Mama berpeluk tubuh. Kedengaran suara mama begitu keras pada babah tadi. Anif tidak suka mendengar suara mama yang melengking seperti itu. Babah kan suami mama. Mama tak boleh tinggikan suara pada babah. Nanti mama tak dapat masuk syurga. Anif takut bila mama tinggi suara tadi, mesti adik dalam perut mama lebih-lebih lagi. Anif cuba buka mulut tapi suara mama lebih dahulu menerpa gegendang telinganya.
" Kalau bah tak nak cakap dengan Anif, jangan cakap dengan ma jugak!" Suara mama tambah keras.
" Ma..." Perlahan suara babah menerjah telinga Anif. Datar nada suara babah. Mama tetap membatu. Wajah mama tetap tegang. Marah mama masih belum mengendur. Lama mama memasang jeda.
" Ok....Anif, kita pergi rumah Tok Mak ngan Tok Bah ya. Diorang pun rindu kat Anif."
" Seronoknya....Anif pun dah rindu kat Tok Mak ngan Tok Bah." Anif sedikit girang, baharu kali ini dia rasa bahagia. Babah dah pun tegur Anif. Tentu babah sudah maafkan Anif.
Setelah itu, babah terus juga diam. Mama tersenyum-senyum. Anif tengok, mama genggam tangan babah di stereng. Kali ini lekuk di pipi mama nampak betul-betul terserlah..

" Anif, meh sini sayang. Salam Tok Mak."
" Mak sihat?" Mama peluk tubuh Tok Mak yang berisi. Anif lihat Tok Mak mengusap-ngusap perut mama. Tok Mak senyum lebar. Anif menghampiri Tok Mak dan Tok Bah. Dipeluk tubuh Tok Bah yang kurus melidi. Tok Bah sudah tiada gigi. Tok Bah pakai gigi palsu yang babah belikan. Tok Bah senyum hambar. Anif peluk tubuh Tok Bah, erat sekali.
" Hilmi, mak nak cakap sikit dengan kamu."Tok Mak mengatur langkah ke arah dapur. Mama bingkas bangun. Anif yang duduk di sebelah mama, pun turut sama bangun.
" Min duduk dulu. Borak ngan abah. Dah lama tak bercakap dengan Min." Tok Bah lekas-lekas menyelit. Mama akur. Babah membontoti langkah Tok Mah. Anif ikut babah. Tapi babah tak pula marah...
" Kamu pergilah mana-mana...mak kasihan betul pada Jasmin tu." Tok Mak mengusap-ngusap bahu babah. Anif lihat, babah tersedu-sedu di bahu Tok Mak. Kali pertama, Anif lihat babah menangis seperti anak kecil.
" Kita ikhtiar sama-sama. Yang penting kamu kena kuat." Tok Mak menyeka air mata yang semakin deras mengalir.
" Mak...Mi tak kuat. Mi kesian pada Min." Sayu suara babah. Inikah babah...lelaki yang selalu tampak gagah. Tapi babah pun manusia...babah pun ada rasa. Babah pun ada emosi. Cuma kali ini emosi babah terhambur. Di hadapan mata Anif sendiri.
" Kita kena tolong Min. Mak ngan abah ada..." Tok Mak merangkul tubuh babah. Kali ini babah mengangguk.
" Bah...jom kita balik!" Mama melaungkan nama babah. Anif tersentak.
" Kenapa ni ma?" Buru-buru babah keluar ke ruang tamu diikuti Tok Mak.
" Abah ni dah nyanyuk...ada ke dia kata..." Bicara mama terhenti. Dipekupnya muka.
Babah menghampiri mama, seperti tidak perlu bertanya apa-apa lagi. Babah sudah maklum. Diusapnya bahu mama yang terhinggut-hinggut menahan tangis. Babah nampak sedih.
" Anif memang dah tak ada sayang...kita kena terima. Allah lebih sayangkan Anif." Suara babah bergetar. Babah menahan sebak.
" Bah pun dah tak betul agaknya! Anif ada lagi. Betul-betul depan kita. Sayang...meh dekat mama." Mama mendepangkan tangannya. Anif kecil hati. Anif tidak ikut kata mama. Perlahan Anif mula menjauh.
" Nif....Meh sini sayang. Meh sini. Jangan tinggal ma..." Mama terjelopok di lantai. Babah lekas-lekas mencapai tubuh mama yang nampak tidak berdaya. Anif menyapu air mata yang mengalir di pipi.
" Nif...jangan merajuk dengan ma. Meh dekat ma." Sayu suara ma. Anif diruntun sebak. Tapi dia mesti pergi. Kerana ma....

Anif lihat mama dari jauh. Anif tidak muncul di hadapan ma. Anif hanya 'hidup' dalam dunia cinta mama. Kini dia mesti pergi. Demi ma. Demi bah. Demi Tok Mak. Demi Tok Bah. Dan demi adik.
Anif mahu lihat mama untuk kali penghabisan. Mama duduk di atas sofa, diam tidak berkutik. Babah sedang melayari internet. Hari Sabtu yang tenang. Angin bertiup sepoi bahasa. Sepi memecahkan suasana. Anif melangkah ke arah mama. Mengumpul sisa keberanian. Anif sentuh tangan mama. Mama senyum. Mama kucup pipi Anif. Lama mama tenung wajah Anif. Anif pun tatap mata mama. Tiada kata-kata.
" Pergilah....ma lepaskan." Berderai air mata ma.
" Bah.....kita ke kubur Anif." Ma menguntum senyum. Mata Anif berkaca. Babah tersentak. Jari-jemari bah yang menari di atas 'keyboard' serta-merta terhenti. Sejenak, babah tersenyum. Hati Anif diresapi bahagia......yang teramat!

Friday, June 12, 2009

Novel kanak-kanak...-Dunia cinta mama

" Anif, kan ma dah kata jangan sentuh buku babah tu!" Mama pantas memberi amaran sebaik sahaja jari-jemari Anif mengelus kulit buku kesayangan babah. Anif pantas menarik tangannya. Khuatir mama marah lagi. Kalau mama marah nanti mama sakit. Nanti adik dalam perut mama pun sakit. Anif tak mahu mama sakit. Mama menggulum senyum bila Anif mendengar kata. Anif lihat, mama penat betul. Sejak tadi mama terbaring di sofa dengan jari-jemarinya memicit-micit kepala. Anif jatuh kasihan...
" Ma.....biar Anif picit. Nanti tak sakit dah." Anif menggunakan kudrat tubuh kecilnya memicit kepala mama. Anif lihat mama senyum lebar. Mama pejam mata rapat-rapat, seolah-olah mahu menikmati nikmat urutan Anif. Anif rasa perkasa. Mama tentu kelegaan nanti....makin rancak jari-jemarinya mengurut-ngurut kepala mama.
" Terima kasih anak ma. Sedap betul...ma dah tak sakit lagi dah." Mama mencium pipi gebu Anif. Anif kegelian. Dia tertawa kecil. Mama turut tertawa. Anif rasa bahagia. Sejak akhir-akhir ini, mama jarang ketawa. Wajah mama selalu tegang. Dahi mama selalu berkerut. Anif suka lihat mama senyum. Bila mama senyum, macam ada satu lekuk di kedua belah pipi mama. Anif takjub...
Anif dengar bunyi enjin kereta babah dimatikan. Anif tahu babah sudah pulang. Kali ini Anif mahu tolong memicit kepala babah pula. Kalau babah suruh urut bahu pun, Anif akan ikut. Anif berlari-lari ke muka pintu. Anif tak sabar-sabar mahu melihat babah. Anif tak sabar mencium bau peluh babah yang melekat di tubuh. Anif mahu memeluk tubuh babah...
" Assalamualaikum...." Babah terpacul di muka pintu. Babah kelihatan penat. Wajahnya pun tegang seperti mama.
" Waalaikummussalam....abang dah balik." Mama bingkas bangun. Susah-payah mama cuba bangkit dari sofa.
" Kenapa ma biarkan pintu terbuka?" Babah melabuhkan duduk di sebelah mama. Babah letakkan 'briefcase'nya di tepi. Perlahan mama sandarkan kepalanya di bahu tegap babah. Rasa bahagia menjalar di dada Anif.
" Anif.....kenapa tak salam babah ni? Babah balik dia boleh buat tak tau aja...." Mama mula mengomel. Anif berlari-lari ke arah mama. Anif lihat wajah babah tegang. Rasa takut mencengkam dada Anif. Babah marah lagikah pada Anif? Anif tahu, Anif salah. Anif yang koyakkan dokumen babah. Rasa bersalah semakin menggigit tangkai hati Anif. Babah buat tidak sedar kewujudan Anif. Kolam mata Anif mula berair.
" Anif...mari duduk sebelah ma." Mama menepuk-nepuk sofa di sebelahnya. Anif akur, tanpa banyak soal lagi.
" Bah.....tak elok marah anak lama-lama. Anif bukannya sengaja pun. Babah yang letak merata-rata...." Mama melampiaskan rasa tidak puas hati dengan tingkah babah yang tidak mempedulikan Anif. Anif pekup telinga kuat-kuat. Anif tidak tahan melihat mama dan babah bertengkar kerananya. Biarlah babah terus marah pada Anif. Anif rela....
" Bah naik atas dulu. Tak solat Asar lagi. Nanti bah siap, kita makan kat luar." Babah langsung tidak menoleh pada Anif yang duduk di sebelah mama.
" Bah....Anif anak kita. Satu-satunya..." Air mata mama deras mengalir. Hati Anif juga dilanda sebak. Kalaulah dia tidak mengoyakkan dokumen penting babah tempoh hari...
" Ma ngan Anif pun siap juga. Nanti Bah turun..." Babah mengatur langkah ke arah tangga. Anif lihat, mama senyum bila sahaja babah menyebut nama Anif. Hati mama tentu berbunga-bunga...
" Ha...kan ma dah cakap, babah dah tak marah Anif lagi. Dah, jom kita siap. Nanti bah tak payah tunggu lama." Mama memimpin tangan Anif ke kamar.
" Betul ke bah dah tak marah lagi ma?" Perlahan nada suara Anif. Mama senyum pantas mengangguk. Anif puas hati melihat ceria yang terlukis di wajah mama. Duka mama sudah pun menyisih pergi. Anif mampu bernafas lega.
" Kita pakai baju warna merah ya. Bah suka warna merah..." Ma mencapai baju t-shirt merah kegemaran Anif. Pantas Anif mengangguk-ngangguk.
" Anif pakai ya...ma nak tukar baju."

" Kenapa diam aja semua ni? Anif tak nak cerita pasal Fifi kat bah?" Mama menukar siaran radio. Babah berlagak tenang.

Thursday, June 11, 2009

Tulislah...

Dan belajarlah menulis walau satu ayat. Tulislah dengan rasa. Belailah dengan gelora. Pandanglah dengan mata jiwa. Corakkan dengan saksama. Kenalkan pada dunia. Aku tulis apa yang aku rasa. Dan tidak akan berhenti menulis. Biar aku tulis kisah kita. Dalam bingkisan cerita kita. Biar aku tulis dengan nada berbeza. Rasa-rasa yang terpatri dalam emosi membaur. Kalut dalam serabut. Au tulis...cerita gundah. Pasaknya di semarak semangat. Yang mencumbui rasa terdampar. Aku ingin menulis........dengan rasa itu!
Tulisan....gegarkan pena dengan ledakan keringat....................

Curi dan cari

Tadah wajahmu ke langit...
jangan kau tunduk
selagi tidak kau pintal rasa itu
dan jangan palingkan indah kenangan
yang kita palit
di jejak masa

Aku curi
dan kau cari...
benamkan di takah terakhir..
sematkan di benak rasa
dengan pantul emosi
berbaur iman

Aku curi
Dan kau cari
Apa yang kucuri?
dan apa yang kau cari?
Bia terbelit di dada kita..
Shyyyy....biar cuma kita

Ingat teman..
aku curi dan kau cari.....

Kata

Aku kata...
kau rasa..
membelit sukma terhampar
dihambat jejak resah
dgalau rasa payah
aku kata...kau rasa
mengagau dalam jernih
anugerah.
Aku kata..
kau rasa..
dan kata..
biar tersorot dalam jernih mata kita
yang takung airnya
tak henti-henti
Kata..
Dan rasa.

Hati dan jemari....

Ada seorang teman belanja aku dan dua orang teman lagi makan sate. Ada salah seorang bertanya padaku, kenapa orang sekarang suka mengeksperesikan diri dalam blog? Dia terasa seperti lelucon pula. Aku terkesima sejenak. Lama aku memasang jeda. Kenapa ya? Betul juga...tidak bolehkah kita mengekperesikan diri dengan cara yang lain? Lama juga aku memikir-mikir. Sampai takah terakhir...baru aku ada jawabnya. Aku simpan sendiri-sendiri sahaja. tidak kuluahkan pada teman itu. Aku sudah tahu.....manusia sekarang malas mendengar. Ya...malas mendengar seperti aku...

Dan aku bukannya eksperesikan diriku...aku hanya wakilkan hati. Yang bersatu dengan jemari.

ISTIKHARAH YANG SATU-2

Ya Allah, jantung Nuha terasa ingin gugur ke bumi. Bersahaja kata-kata itu dilontarkan. Peluh Nuha merenik. Disekanya perlahan. Nuha membetul-betulkan tudung yang sedia kemas.

"Nuha...." Irfan menggawangkan tangannya betul-betul di hadapan Nuha. Bersama senyum seulas. Matanya yang sepet menikam mata Nuha lagi. Nuha cuba juga membalas kembali tetapi kata-kata tadi bagai menyentap tangkai hati Nuha. Irfan terus juga merenung hingga akhirnya Nuha kalah....

"Nuha, kita kahwin nak?"

Spontan Nuha terus memandang Irfan dengan rasa tidak percaya. Bukankah sudah Nuha jelaskan beberapa kali? Apa lagi jawapan yang lelaki ini butuhkan?

"Hadi ingat perkara kawin ni main-main?" Spontan Nuha menyoal. Berani nuha sudah sampai ke pundak. Perlahan Nuha menggigit bibir. Irfan termengkelan. Soalan Nuha tidak dijawabnya. Wajah Irfan terus-menerus cemberut. Dia sama-sekali tidak menduga reaksi spontan Nuha tadi. Sebelum ini, Nuha tenang-tenang sahaja bila soal itu diutarakan. Sudahnya, dia juga terus terkedu. Agak keras suara Nuha tadi. Amboi, bukan mainnya Nuha sekarang ni!

" Hadi serius dengan Nuha..."Lirih nada suara Irfan . Hati Nuha diruntun pilu. Kalaulah dia yang diberi kuasa memilih. Kalaulah Nuha ada kuasa veto...

Tiba-tiba Nuha jadi terbayangkan wajah babah dan mama. Nuha teringat pesan mama setiapkali dia berpergian.

"Nuha belajar rajin-rajin. Nuha pikir belajar aja....yang lain biar mama ngan babah uruskan." Mama mengucup ubun-ubun Nuha. Dikucupnya pipi Nuha bertubi-tubi sebelum melepaskan Nuha pergi dengan separuh hati. Pipi Nuha terasa sejuk dengan air mata mama. Air mata mama yang bersatu dengan air mata Nuha....

Walau apa pun 'modus operandinya', Nuha berkeputusan dia tidak akan mendapat restu mama dan babah bagi melaksanakan permintaan Irfan Hadi. Nuha diburu rasa sebak yang tidak bertepian...

"Hadi tunggulah Nuha...setahun aja lagi." Nuha cuba mengaplikasikan skil memujuk yang sudah lama tidak diasah. Semakin tumpul. Nuha pun sudah lupa caranya. Lama Irfan memasang jeda. Bukan sekali dua Irfan mengasak Nuha dengan soal kahwin ni. Nuha sudah buntu. Tiada ruang berfikir lagi. Noktah.

" Hadi sayang Nuha." Tajam renungan Irfan menusuk jiwa remaja Nuha. Hati Irfan Hadi memang susah terpujuk. Sebaliknya hati Nuha yang rapuh. Pertahanan Nuha masih tidak cukup gagah. Nuha terkelu beberapa detik. Cuba mengatur-ngatur bicara. Kalaulah sekeping hati ini juga bisa juga diatur-atur....

Wednesday, June 10, 2009

ke mana hilangnya berani itu?

Zaman dahulu kala( aku pun tak pasti bila), ada seorang pemuda yang telah diberitahu dirinya akan mati tidak lama lagi kerana penyakit berbahaya. Sang pemuda bertekad ingin menghabiskan sisa hidupnya dengan melakukan sesuatu untuk negara. Beliau lantas berkeputusan untuk pergi berperang. Dan semasa berperang itu, beliau berada di barisan paling hadapan. Sang pemuda tidak gentar melawan musuh. Semua dicantasnya. Beliau tidak takut mati kerana beliau tahu ajalnya tidak lama lagi. Beliau mahu mati cara yang terhormat sekali. Dan keputusannya, beliau dapat menewaskan ramai musuh. Semua memuji. Semua kagum. Raja ingin berjumpa setelah dikhabarkan tentang keberanian sang pemuda. Pergilah dia menghadap raja. Di situ, raja menganugerahkan dia jawatan dan pangkat yang tinggi. Setelah diberitahu tentang penyakit pemuda itu, raja mengerahkan seorang tabib yang tersohor merawat pemuda itu. Akhirnya, pemuda itu dapat sembuh dengan izin Allah.

Tapi beliau tidak sama lagi, beliau sudah sembuh. Beraninya telah hilang bersama kesembuhan. Sang pemuda sudah takut mati. Tidak lagi berani meyahut seruan perang barisan hadapan!

Kita fikir-fikirkan.....

Gambar dan cerita...

Apa pentingnya kita menyimpan gambar seseorang? Apa nilainya gambar yang bisu seribu rahsia? Pernah ada seorang bertanya. Aku terkelu. Tiada kata dapat terungkap. Aku tahu, ada cerita dalam gambar. Dan cerita itu..masing-masing tafsir. Dalam kalut dan resah bertimpa. Dalam ceria dan riang berganda. Gambar aku ada cerita. Dan yang tahu....cuma aku dan DIA.

aku dan teman...

Hari ini hari paling ceria. Aku sudah ada blog yang aku punya sendiri. Selama ini menelek blog teman-teman. Hati sedikit terusik cemburu dengan kalam yang menaburi ruang maya mereka. Terlahir satu hasrat yang termaktub di dada rasa. Aku juga ingin punya blog. Terima kasih pada adikku yang tersayang yang juga kupanggil Lin. Kebetulan nama kami serupa. Untuk membezakan kami, seringkali Tini memanggilnya sebagai Hazlin. Terima kasih pada Lin yang merealisasikan hasrat. Aku suka....kecerian terlakar di hari-hariku.

novel bersiri-istikharah yang satu

ISTIKHARAH YANG SATU- 1


Dup….dap…dup….dap, Nuha cuba menahan debar yang beraja di hati. Dia memanjangkan langkah ke arah kafe dengan takah keberanian yang tinggal sisa.
‘ Aku ni betul ke nak jumpa dia?’ Nuha masih berkira-kira dalam hati. Nafasnya terasa sesak. Nuha berpeluh-peluh. Detak jantungnya bertambah laju. Langkah tetap diteruskan. Cuma tinggal sedikit sahaja lagi untuk sampai ke destinasi. Tiba-tiba, langkah Nuha terhenti. Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Nuha melihat nama yang terpapar di skrin. Dia? Nuha menelan liur. Terasa kering tekak Nuha…

“ Assalamualaikum, Nuha.” Suara itu memecah gegendang telinganya. Jantung Nuha berdegup lebih pantas. Nadanya mula tidak sekata. Nuha diam tidak berkutik. Suara itu ada iramanya yang tersendiri, yang bisa membuat dia terpempam. Nurul Nuha terkedu buat sekian kalinya.

“ Assalamualaikum, Nuha.” Dia mengulang bicara.

“ Waalaikummussalam.” Bergetar bibir Nuha.

“ Nuha kat mana sekarang? Hadi dah ada kat kafe sekarang.”

“ Ya…Nuha nak pergi sana ni.” Bibir Nuha ketap. Mencari-cari kekuatan. Suara itu tidak pernah gagal membuai rasa seorang Nuha.

“Cepat ya Nuha, Hadi tunggu ni.” Kali ini suaranya kedengaran seperti mendesak. Atau pun sebenarnya Nuha yang tersalah mendengar. Mungkin Hadi tidak sabar-sabar bersua empat mata dengan Nuha. Sudah hampir sebulan tidak bertemu…

“ Nuha datang ni…” Suara itu bagaikan tersekat di kerongkong Nuha. Tekak Nuha bertambah kering. Mata Nuha menangkap kelibat dia. Duduk di sudut yang paling hujung dengan sorotan matanya yang tajam, membelingas ke sana-sini. Menelanjangkan seluruh isi kafe. Mencari-cari Nuha yang sedia terpacak di pintu kafe. Nuha ingin terus menguji. Dipandangnya Irfan Hadi dari jauh. Irfan menyebak rambut dengan riak wajah yang tidak sabar. Wajah Irfan sedikit tegang. Irfan Hadi memang tidak pernah berubah, Kalau sudah namanya begitu….Irfan Hadi a.k.a Mr Full of Emotion. Itu gelaran yang diberi oleh Elis, Fina dan Shasha dulu. Dan perlahan-lahan, Nuha sendiri pun mengakui. Irfan Hadi memang selalu terlebih emosi…..selalu tidak dapat kawal rasa. Egonya yang mentadbir minda. Irfan dan emosi adalah terlalu serasi untuk dipecah-belahkan!

“ Apa yang kau terhendap-hendap tu, Nuha?” Nuha tersentak. Sekelipan, Nuha senyum nipis. Dibalas oleh Eton yang terkenal dengan mulut becoknya yang serupa bertih goreng itu! Kalau sudah bercakap, Eton tidak tahu berhenti. Tidak ada lampu isyarat dan papan tanda jalan…..main redah aja.

“Kau ‘usha’ mamat baju biru tu ke?” Aik…sama-sama biru ni Nuha. Elok sangatlah tu Nuha. Apa lagi kau tunggu. Kalau aku…tak lepas punya. Aku dengan Azmi pun….”Ha, dia nak mula dah. Nuha tidak senang duduk. Kalau Eton bercakap pasal Azmi, sampai lusa pun tak habis…

“ Jom masuk Nuha. Aku temankan kau jumpa mamat tu...tak payah tipulah Nuha, kau memang nak jumpa dia kan?” Eton menolak-nolak bahu Nuha. Bertalu-talu debar yang memalu hati Nuha.

Eton mula menarik tangan Nuha, terus melangkah ke meja yang diduduki oleh Irfan. Sepasang mata Irfan tajam menikam matanya. Nuha tunduk menekur lantai.

“ Awak tunggu Nuha, kan?” Nasib baik saya ada tau…kalau tak, dia takkan masuk jumpa awak ni. By the way…nama saya Zizi.” Eh, sejak bila pula Eton tukar nama jadi Zizi. Yang ini Nuha pun tak tahu…

“ Betul ke Nuha? Kali ini pandangan matanya redup, menerjah ke sanubari Nuha. Sedikit demi sedikit, Nuha cuba menatap mata Irfan. Dan berjaya….oh tidak sebenarnya,Cuma selama satu minit sepasang mata Nuha menjamah mata bening itu, Nuha buru-buru menutup ruang itu. Tanpa ada ruang lagi yang tinggal…walau pun cuma seinci….

Mata Nuha terus juga melilau ke sudut-sudut lain di dalam kafe. Ke arah Pak cik Zaidi yang sedang sibuk mengira duit di kaunter jualan. Atau abang Paiman yang leka mengemaskan meja makan. Atau pada Kak Laili yang senyumannya sahaja, kalah Ratu Gula!

Irfan tersenyum-senyum. Dia memang memahami tingkah Nuha. Bila gelisah…rasa itu terpancar terus dari raut wajah. Tanpa dapat diselindung-selindung lagi. Nuha yang senang dibaca dan diramalkan.

Paling Irfan suka, bila Nuha senyum. Mata Nuha seolah-olah ikut senyum dengan bibirnya yang meleret.

“ Hadi nak makan apa?” Nuha membetulkan kaca matanya yang terletak. Satu tindakan yang spontan bila mana dia gelisah tidak menentu.

“ Tanya Hadi je…aku tak?” Eton sengaja memuncungkan bibir.

“ Saya dah pesan Nasi Goreng Kampung favourite Nuha. Saya tak mungkin lupa…makanan favourite orang yang saya sayang.” Suaranya cukup perlahan, menyentuh gegendang telinga Nuha. Separuh berbisik. Darah merah menyerbu muka. Merah padam muka Nuha. Dicampur adukkan dengan jelingan penuh makna daripada Eton. Yang dia ni pun, dari dulu sampai sekarang tak pernah berubah. Tak pandai sembunyi rasa. Yang jelas…..yang nyata. Itulah Irfan Hadi yang Nuha kenal.

“ Sombongla dia ni….sikit pun tak tegur aku. Memang tak sesuai langsung dengan kau, Nuha.” Eton mula berbisik-bisik. Nada suaranya cukup jengkel.

“ Saya balik dulu la Hadi…macam tak wujud aja kat sini.” Eton bingkas bangun. Wajahnya cemberut.

“ Sekejap…hanya orang istimewa aja boleh panggil saya Hadi.” Irfan mengacau minuman yang tinggal separuh. Jari-jemarinya ligat memainkan straw. Wajahnya tenang, seolah tidak terusik dengan satu apa pun.

“ Huh…..sikit pun tak heran.” Eton menjuih bibir. Hati Nuha tersayat. Irfan memang tak pernah berubah. Sepasang mata Nuha mengekori langkah deras Eton. Terus menghilang di balik pintu kafe.

“ Kenapa Hadi buat kawan Nuha macam tu?” Amarah Nuha menggelegak.

Nuha boleh saja hormat kawan-kawan Hadi yang gila mengusik tu. Nuha cuba nak berbaik dengan Eid, Fik dan Lias dan ramai lagilah yang Nuha tak ingat namanya. Kata-kata itu cuma terakam di daftar hati Nuha. Kalaulah Nuha boleh jadi sedikit pemberani…

“ Hadi tak suka apa yang Nuha tak suka.” Selamba Irfan menguntum senyum.

“Sapa kata Nuha tak suka dia? Pandai-pandai aja ya…” Nuha merengus geram, sebal dengan tingkah Irfan.

“Mata Nuha……”


Pinjamkan...
adus...aku butuh
kiranya kau beri pinjam
adus...aku terasak......

Pinjamkan...
kira lohong hatiku terpapar
kata rayu..
pohon kau pinjamkan.

Pinjamkan..
waima cuma lima minit
dalam ruangku...
jangan ia mengubur..

Adus....teman
pinjamkan aku...
lolong hati dalam pasak kata rayuan
damba hatiku
dalam titip warkah bisu.

Bentar aja dong...
pinjamkan aku...
teman...
pinjamkan aku
secebis semangatmu
yang kau bawa berlari-lari itu...
aku ingin berlari dalam hirup nafasku
detak jantungku

Pinjamkan.....

cerita aku dalam kamu..

Aku ada cerita..
yang baitnya berpatah-patah
Bicaranya berangkap-rangkap.
yang katanya meluap-luap..
bisanya tertusuk-tusuk

Aku ada cerita...
dalamnya ada ruang..
dalam cerian nikmat
dalam kata tersirat.

Aku ada cerita..
aku ketawa...
aku merintih..
hati calar pedih.

Aku ada cerita...
aku lara..
dalam duka..
tiada...

Aku ada cerita...
cerita kita sama..
tiada beza..
cerita aku
dalam kamu......

Warna dalam cerita kita...

Ada dua rasa
Dalam jiwaku..
Sukar ditafsir
dalam benak mindaku.

Ruang lingkup itu..
tempat aku berdiri selalu..
dalam rasa itu
aku terlahir...
Parah..
sakit dalam takjub
Dua rasa itu wakilkan diriku
Warna dan cerita
dalam tinta hatiku
yang berdarah.