Monday, June 22, 2009

lembar duka Hana

LEMBAR DUKA HANA…

Salam perkenalan…

Jemari saya bagai direntap-rentap saat menulis warkah untuk saudara. Saya kira ini adalah di luar kelaziman seorang perawan seperti saya. Tidak salah, kan? Saya tidak pernah jatuh hati, malah kata-kata itu tidak pernah melintas di benak. Kendati pun teman-teman bergilir-gilir pasangan, hati saya tidak pernah ditebak rasa cemburu. Saya semakin tekun menelaah nota-nota kuliah, rasa tidak terjejas. Saya masih normal sahaja…

Saya memasang tekad, warkah ini mesti segera sampai kepada saudara. Apa saudara sudi menyambut salam perkenalan ini, yang saya kirimkan dengan rasa mengharap yang masih meluap-luap?

Saya ingin berkongsi rasa ini, yang menghias pundak jiwa? Biarlah minit-minit hidup saya yang seterusnya dapat saya isi dengan rasa puas. Tidaklah datang sesal yang bertimpa-timpa dalam diri. Kesal kerana apa? Kesal kerana tidak dapat memaparkan rasa hati pada saudara. Pertama kali saudara saya lihat…….

Berkali-kali mata Faiz tertuntas pada bait-bait kata yang tertera di warkah biru berbau wangi itu. Serasa pengirimnya seorang wanita yang cukup ayu, penuh nilai tradisi tetapi sangat berani meluah isi hati! Rasanya yang sejuta terlakar di lembar kertas yang bisu. Faiz menghidu keharuman warkah, wakil rasa hati yang entah dari gadis mana. Kalau boleh, sekarang juga dia ingin tahu siapa gerangan gadis manis yang berani menitip warkah. Siapa agaknya? Telahan demi telahan melintas di benak. Bagai terngiang-ngiang kata-kata Adham, rakan sekuliahnya tadi.
‘ Iz….entah-entah Soraya tak?’ Kata-kata Adham terus merangsang deria ingin tahunya. Betulkah Soraya, gadis yang paling berani melunaskan bicara dan idea di hadapan pensyarah dan rakan-rakan sekuliah? Kata-kata Soraya adakala bernas tetapi cukup berbisa. Panahannya tepat pada sasar. Matanya yang menikam cukup menggetarkan sukma. Dia jarang tersenyum. Kecantikannya terselindung di balik kaca mata yang tebal. Serta-merta Faiz terbayang figura Soraya. Orangnya tinggi lampai, bertudung litup. Blaus yang dipakai seringkali menarik perhatian. Soraya kerap memakai blaus pink sewaktu menghadiri kuliah. Dia nampak bersahaja tetapi matang dengan caranya yang tersendiri. Hujahnya selalu menyelar hingga Faiz sendiri tercabar! Gadis Soraya ini bukan alang-alang orangnya…
‘Tak mungkin dia…..mungkin orang lain.’ Faiz mula membuka ruang fikir. Mengingatkan dia pernah berdebat dengan Soraya sehingga terpaksa dileraikan Professor Adnan, bayangan Soraya terus dipadamkan daripada terus membidik ingatan. Faiz menghela nafas panjang.
‘ Tak mungkin Soraya.’ Kata terakhir melintas di benak. Faiz terus membaca warkah itu. Sudah hampir lunyai surat itu dibacanya sejak tadi. Frasa-frasa terpilih, kata-kata yang indah. Tentu pemiliknya pandai bermain kata-kata. Lalu diterbitkan melalui hujung pena. Termuntah di kertas yang bisu. Dan terlakar menjadi bait-bait yang indah. Mata Faiz terus menyorot pada tulisan yang tertera. Halus dan cukup teliti. Tulisannya satu-persatu, menggambarkan si penulis seorang yang amat cermat.
“ Mungkin Zara kot?” Adham menepuk belakang Faiz. Serentak, Faiz melarikan anak matanya daripada terus fokus pada surat itu. Disorokkan surat itu di bawah bantal yang sudah kumal. Adham tersenyum-senyum.
“ Kau ni tak reti bagi salam ke?” Faiz menggeleng beberapa kali, sebal dengan sikap Adham yang selalu masuk ke biliknya secara mengejut.
“ Serius……” Senyum Adham tertahan-tahan.
“ Apa yang seriusnya?” Faiz menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Matanya tertancap pada Adham yang masih juga tersengih di birai katil.
“ Isi surat tu dah curi isi hati kawan aku ni.” Tawa Adham meledak. Faiz memasamkan muka. Dibalingnya Adham dengan bantal kumal, tempat dia menyorokkan warkah gadis misteri. Adham pantas mengelak sambil tergelak-gelak. Tidak sia-sia dia belajar ilmu silat. Masa inilah dia boleh aplikasikan ilmu daripada Tok guru…
“Tak payahlah kau nak sorok surat tu…aku pun nak baca jugak.” Adham terus mencapai surat itu di atas katil Faiz. Mata Faiz membulat. Ish…ish. Adham ni betul-betul nak kena penangan taekwando Faiz. Bukan dia tak ingat. Faiz pemegang tali pinggang hitam dalam taekwando sedangkan dia baharu dua hari mendaftar sebagai ahli dalam persatuan silat….
‘ Memang nahaslah dia kalau baca surat tu.’ Faiz mengetap bibir. Spontan surat itu dirampasnya di tangan Adham. Terkocoh-kocoh surat itu disembunyikan di dalam loker. Sifat inkuiri Adham benar-benar mencabar kesabarannya yang memang nipis.
Adham mengjongket bahu, rasa puas mengisi ruang dada kerana dapat mengenakan Faiz. Buat kali pertama dia dapat melihat reaksi Faiz . Baharu sahaja dia acu dengan gertakan, Faiz sudah menggelabah. Sebelum ini, sahabatnya itu tidak pernah berbicara soal hati. Apa lagi cinta. Faiz dan cinta, cukup berbeza haluan. Hatinya puas bila melihat wajah Faiz yang putih bertukar kemerahan. Rasa malu meronta-ronta daripada riak wajah itu. Mungkin pemilik surat itu sudah berjaya menjagakan temannya itu dari dunia ilusi yang tidak bertepi…..
“ Kau balaslah saja surat tu. Kesian dia ternanti-nanti.” Adham tersenyum nipis.
“ Macam mana nak balas…alamat dia pun tak taruk.” Faiz memberi alasan. Si penulis warkah pun dia tidak tahu, apa lagi mahu menitip balasan. Pada siapa? Pada Soraya? Gadis berhati besi yang berpelurukan kata-kata. Entah kan Soraya entahkan tidak yang menulis warkah itu…
“ Itu pun aku nak kena bagitahu ke? Kau letak jelah bawah meja, tempat dia letak surat tu kat kau. Ada faham?” Adham mengjongket kening. Perlahan-lahan Faiz mengangguk. Mengiyakan kata-kata Adham. Kadang-kadang bernas juga idea teman yang seorang itu.
“ Jangan bimbang…aku boleh tolong tulis surat yang kaw-kaw. Kau bagi je aku baca surat dia tu?” Adham mengatur langkah ke arah loker Faiz yang berdekatan dengan meja studi. Dia lebih banyak menghabiskan masa di bilik Faiz daripada biliknya sendiri. Semua ‘roommate’ Adham kaki studi. Dia sendiri rimas melihat cara belajar rakan-rakan sebilik. Mujurlah dia tidak menekan diri seperti itu. Belajar…belajar…belajar, itu sahaja
yang mereka tahu.
“ Jangan harap!” Faiz buru-buru menghadang laluan Adham.
“ Sahabat aku dah jadi terlalu berkira nih!” Adham pura-pura kompelin. Tawanya lebar menampakkan barisan gigi yang teratur.
“ Aku berkira cuma dengan penyibuk seperti kau!” Faiz turut tertawa. Tawanya lepas, menampakkan matanya yang sepet. Dibetul-betulkan kaca mata yang terletak. Dia tahu Adham tidak serius. Bukan sehari dua mereka berkawan. Dia cukup mengenal Adham luar dan dalam. Adham selalu menghiburkan dengan leluconnya. Kata-katanya adakala masuk akal dan cukup membantu saat dalam kegalauan.
“ Tulislah surat tu. Aku yakin gadis tu takkan jadi misteri lagi nanti.” Adham memulas tombol pintu. Suaranya melengking. Faiz terangguk-angguk. Adham cukup serius dalam menitip warkah buat gadis misteri itu.
“ Aku gi dulu. Jumpa nanti!”


Salam perkenalan…
Buat saudari yang misteri. Ada baiknya jika saudari muncul memperkenalkan diri di alam nyata. Saya kira, itu lebih bermakna buat diri saya.

Huh…apa lagi nak ditulis. Faiz menarikan pen di tangan. Jari-jemarinya menguis kertas di atas meja. Faiz sudah kehilangan idea. Dia tidak biasa bermain kata-kata. Apa lagi kata bermadah yang berselimutkan pujangga.
“ Nantilah….banyak lagi nak studi.” Faiz mencapai buku ‘ History of Russia’. Di mana dia berhenti tempoh hari ya? Oh ya…..Rasputin. Lelaki misteri yang gila seks dan berjaya menyembuhkan penyakit putera Russia. Rasputin yang berjaya meraih kepercayaan permaisuri kerana kesembuhan puteranya yang hampir maut. Rasputin yang tidak lut ditikam. Faiz meneliti baris demi baris.

Salam untuk saudara….
10.5.1994

Pertama kali saudara saya lihat, hati saya yang kosong terus terisi. Entah mengapa, hati saya tertarik dengan penampilan saudara yang cukup sederhana. Saat saudara menyebak rambut, saya jadi terkesima. Saat saudara menguntum senyum, saya jadi terpana. Lesung pipit saudara terlalu manis menghias kedua belah pipi. Saudara nak tahu? Ada juga beberapa orang siswi yang menuji-muji lesung pipit dan keterampilan saudara. Tahu apa reaksi saya pula? Separuh hati saya menghimpun rasa bangga…dan yang separuh lagi dibakar lahar cemburu yang menebak ruang dada. Saya amat tersiksa. Yang menyenangi saudara…bukanlah saya seorang..

Fuh…..dia lebih pantas rupanya. Tapi betulkah bicara yang dicoretkan di warkah kali ini? Betulkah Faiz ada ramai peminat rahsia yang mencumbui wajah dan personalitinya dalam diam? Faiz dan peminat rahsia yang terus jadi rahsia…...
Buru-buru Faiz memasukkan sampul surat pink itu ke dalam beg usangnya yang sering dibawa ke mana-mana. Sejak pertama kali menjejak kampus Universiti Kebangsaan Malaysia, itulah teman setianya. Faiz kendong beg kumal itu merata-rata. Tidak pernah berganti hingga tahun terakhir.
“ Dapat surat lagilah tu?” Adham menepuk bahunya dari arah belakang ketika baru sahaja dia mengatur langkah menuju ke kafe. Perutnya berkeroncong minta diisi. Sejak semalam dia tidak menelan waima sebutir nasi.
“ Jangan tanya mana aku tahu…..tengok muka pun aku boleh agak.” Adham tersenyum simpul. Macam tahu-tahu saja Adham ni…baharu sahaja dia ingin bertanya tentang hal yang sama.
“ Jom masuk….aku belanja kau makan.” Adham terus menggamitnya. Spontan, senyum Adham berbalas. Adham memang tidak pernah berkira soal belanja makan nih. Kalau dia kehabisan wang, Adhamlah sumber kewangan utama. Belum sempat minta diberi pinjam, Adham yang lebih dahulu menghulur tangan…

“Siapa dia ya?” Faiz terus memikir-mikir. Kelima-lima surat itu ditenungnya dalam-dalam. Tidak lepas-lepas matanya meratah isi surat itu. Baris demi baris. Ayat demi ayat. Di ruang mata, dia mula terbayangkan wajah-wajah teman sekuliah. Seri yang pendiam, Soraya yang bermulut laser, Fika yang selalu serius, Salina yang gemar ketawa. Yang mana satu antara mereka?
“ Mungkinkah Seri? Faiz terus meneka-neka. Otaknya ligat berfikir.
“ Tak mungkinlah…” Faiz cepat-cepat memprotes. Tidak mungkin Seri yang pendiam itu boleh menitipkan kelima-lima surat yang mengusik hatinya. Kelima-lima surat itu dipandangnya satu-persatu. Dihamparnya atas meja studi. Surat yang membuai rasa. Mewakili sejuta rasa hati daripada seorang gadis yang tidak dikenali. Faiz merenung kipas yang berputar ligat. Perhatiannya teralih tiba-tiba pada lelangit kamar. Faiz sudah lelah berfikir….biarlah rasa itu terus menghuni di benaknya. Suatu masa akan tiba saatnya! Rahsia bukan lagi rahsia…

Salam buat saudara…
11.05.1994

Ya….bukan saya seorang yang menyimpan rasa kagum pada peribadi saudara. Saya sering berkongsi cerita dengan teman-teman. Hati saya pada saudara. Lekat pada saudara. Tidak pernah saya terfikir akan jatuh cinta. Tetapi rahsia ini terus kekal di dalam rahsia. Tidak saya khabarkan rasa ini pada teman-teman.
Saudara…
Antara teman-teman, saya kira ada seorang yang betul-betul mencintai saudara dalam diam. Tahu bagaimana saya tahu? Saya pernah menguji dia. Saya katakan yang saudara ditimpa kecelakaan. Saya lihat dia terus resah. Sikapnya tidak seperti biasa. Wajahnya jelas bersalut duka. Simpati saya tumpah mencurah-curah. Lalu, saya khabarkan yang sebenarnya. Baharulah dia boleh bergurau-senda seperti biasa. Baharulah dia mampu tersenyum. Baharulah saya dapat melihat lesung pipit di kedua belah pipinya. Tidak jauh bezanya seperti saudara. Saling tidak tumpah.
Tidakkah saudara boleh melihat dari kaca mata lahiriah? Siapa dia?

Melihat dari kaca mata lahiriah? Apakah dia sendiri yang tidak membuka semua deria sehingga jadi buta, pekak dan bisu pada alam sekeliling? Faiz terus membaca surat itu sepintas lalu. Dia tersindir….

Sekeping lagi surat menambah koleksi yang kelima. Surat yang keenam ini benar-benar membuat dia berfikir. Siapa penulis surat ini? Siapa pula gadis berlesung pipit yang dimaksudkannya? Dia tahu….esok dia terpaksa membelek pipi semua siswi sekuliahnya. Mencari-cari lesung pipit itu!
“ Ad…kau kena tolong aku cari orang yang tulis surat ni.” Faiz bingkas bangun daripada katil bila sahaja Adham menguak pintu kamar. Adham senyum lebar. Pasti fikiran Faiz menerawang jauh pada pengirim surat misteri sejak beberapa hari yang lalu. Telahannya memang benar. Senyumnya tambah lebar bila Faiz menghulurkan kelima-lima pucuk surat yang sebelum ini diharamkan untuk dia menyentuhnya.
“ Fulamak…ayat dia ‘power’ gila tu.” Adham terus membulatkan mata.
“ Patutlah kawan aku tidur tak lena.” Adham menyambung kata sambil menepuk bahu Faiz beberapa kali.
“ Bila masa aku jatuh hati…..nak tahu je.” Faiz pantas memprotes. Riak kurang senang jelas terpancar. Adham menggeleng-geleng. Senyumannya masih mengembang.
“ Itu pun nak nafi lagi….aku kenal kau la kawan.”
“ Nak tolong aku tak?” Faiz sengaja mengeraskan nada suaranya.
“ Ok….set. Aku mesti tolong kau.” Adham membuat janji.
“ Pertama sekali…kita ‘check’ni tulisan siapa.” Adham menunjukkan ibu jarinya. Faiz mengangguk-ngangguk, memang itulah yang direncanakannya kalau pun Adham tidak mengesyorkan.

“Hari ni pun kau dapat?” Adham meminta kepastian sebaik sahaja melihat mimikmuka Faiz. Spontan, Faiz mengangguk perlahan. Sekeping surat setiap hari. Rasa hati yang sama. Ada gusar mula bertamu. Mungkinkah gadis ini cuba menduga? Mungkin juga sekadar menebak rasa?

Salam buat saudara…
12.05.1994

Saya ingin menyusun sepuluh jari kiranya kehadiran warkah ini menggangu ketenangan saudara. Ada kisah yang saya ingin kongsi lagi. Betulkah saudara tidak nampak siapa gadis yang saya maksudkan? Atau saudara sekadar ingin berteka-teki dengan diri sendiri. Yang jelas…yang nyata..dan tertera, bukan lagi satu teka-teki yang harus dirombak satu-persatu.
Saya paling cemburukan dia. Kerana ciri kewanitaan yang terserlah. Renunglah ke dalam matanya yang bening. Warna matanya yang coklat cair itu memancarkan cinta yang tidak terperi. Cahayanya sampai ke hati saya. Belum sampaikah ke hati saudara?
Saya hanya rela jika gadis berlesung pipit dan bermata coklat cair itu yang meraih cinta saudara. Bagaimana tawaran saya? Hebat kan?

Faiz menggaru kepala yang tidak gatal. Beberapa kali dia mengeluh berat. Seolah melepaskan beban rasa yang mengisi pundak. Telah dia kaji kesemua siswi dalam dewan kuliah. Tidak seorang pun yang berlesung pipit dan bermata coklat cair! Betul….dia belek pipi semua siswi. Perhati juga ke dalam mata mereka ketika berbicara. Malah menurut Adham, tulisan dalam surat-surat itu tidak menyerupai semua tulisan milik siswi. Jadi, takkan pula siswa!
“ Jangan peningkan kepala kau.” Adham masih menyuap makanan.

Friday, June 19, 2009

Tamatkan kisah kami-1



Namaku Adeeba Hanim binti Zukri. Abah yang memberikan nama yang indah itu. Katanya, wajah comelku sewaktu kecil cocok sekali dengan nama itu. Kata ma, abah kata begitu sebab wajahku mirip sekali dengan abah. Aku cuma mewarisi bentuk muka ma, yang lain-lainnya yang tercatuk di wajahku, semua mirip abah. Abah senang memanggilku ‘Manja’. Ma juga begitu. Nama itu lekat sehingga usiaku kini mencecah 23 tahun. Terkadang terbit juga rasa segan dengan rakan-rakan tatkala ma selalu menggamitku dengan panggilan itu. Tapi kata ma….Manja itu memang aku. Dan aku adalah Manja itu. Maka aku belajar membahasakan diriku dengan nama itu, tanpa rasa malu-malu lagi malah adakala rasa bangga menyelinap relung-relung hatiku bila abah dan ma memanggil aku begitu. Terasa diri lebih disayangi. Bukan kerana aku satu-satunya cahaya mata mereka, tetapi panggilan itu terasa begitu dekat menyelit ke hati. Panggilan itu tambah mendekatkan hati-hati kami yang memang selalu berpadu itu. Sejak pemergian abah, ma selalu termenung. Kadang-kadang ma duduk bersendirian di serambi dengan matanya yang bergenang. Ma selalu juga tersilap memanggil abah..

“ Manja, ma dah masak. Ajak abah makan sekali!” Ma melaung dari arah dapur. Aku tersentak. Setakat ini, sudah tak terhitung dengan jari berapa kali ma tersilap memanggil abah. Aku tahu, ma sunyi. Selalunya abah suka berlelucon. Abah suka menyakat ma yang pantang diusik itu. Pulang dari kerja, abah akan terus meluru mencari ma. Abah akan terus memeluk ma dari arah belakang, memuji-muji ma dengan senyum yang melebar. Abah memang peramah. Tetapi ramah abah selalu dengan ma saja. Kalau di luar, abah pendiam betul orangnya. Abah suka senyum-senyum saja bila ma berbicara dengan para tamu. Abah memilih diam, kadang-kadang aku perhatikan abah ralit memerhatikan ma yang memang selalu banyak cakap itu. Ma memang terlalu disayangi dengan sikapnya yang ramah-tamah. Sikap ma yang kukira membuat abah jatuh cinta sampai tak tidur berhari-hari. Itu kata ma lah…

Aku membiarkan ma dalam ruangnya sendiri. Memang itu yang ma butuhkan. Sewaktu bercakap-cakap dengan aku, kadang-kadang air mata ma terus bergenang. Ma akan menyeka manik-manik jernih itu dengan hujung jari. Aku hanya mampu memerhati dengan pandangan lirih. Tahu benar rasa hati yang terbekam di dada ma. Ma rindu sungguh pada abah.

Dan aku masih tetap dengan rutinku. Menulis dan terus menulis. Aku, pen dan kertas memang tidak dapat dipisahkan. Aku suka menulis dan kata ma, aku tidak mewarisinya daripada sesiapa. Ma suka berkebun, suka melihat bunga-bunga yang berkembang di taman ma sendiri. Abah suka bersukan. Aku pula selalu duduk mengadap laptop, melampiskan rasa hati di dada skrin untuk kujadikan sebuah ceritera! Cerita kanak-kanak yang bisa menghiburkan hati mereka…

Aku suka menulis cerita kanak-kanak yang menghiburkan dirimu juga. Kadang-kadang, aku senyum sendiri bila cerita-cerita itu mencuit hatiku. Adeeba Hanim bt Zukri memang sinonim dengan cerita kanak-kanak. Aku sudah menghasilkan tiga buah novel kanak-kanak yang khabarnya mendapat sambutan yang baik juga. Waktu abah masih hidup, aku selalu menghabiskan masa dengannya di beranda, juga ditemani kopi panas buatan ma yang memang sedap. Menyisip kopi buatan ma waktu malam-malam begini…memang waktu yang ternikmat dalam hidup! Abah memang selalu menitipkan idea waktu mindaku kekeringanku. Ruang minda terasa pengap. Abahku rupa-rupanya berbakat juga dalam merangka cerita. Kadang-kadang terbit rasa kagum pada abah yang selalu setia menemaniku waktu aku duduk mencari idea di beranda rumah berjam-jam lamanya! Terima kasih abah…

Sunday, June 14, 2009

TETAMU TAK DIUNDANG

" Akak camana nak buat lakonan ni?Tak ada idea la." Hafizi membetulkan letak cermin matanya. Nampak benar dia resah. Safa dan Ina menggulum senyum. Tercuit dengan gelagat Hafizi. Syahmi, Adham dan Fakri terkebil-kebil memandang mereka berdua. Sejak tadi hanya Hafizi sahaja yang bersuara. Yang lain semuanya asyik menconteng kertas. Entah apa yang dilakar mereka. Adakala mereka mengangguk-ngangguk tanpa tahu hujung pangkal cerita. Hafizi terus menggaru-garu kepala.

" Syahmi, Fakri ngan Adham tak ada idea ke? Dari tadi akak tengok senyap je." Ina tiba-tiba mencelah. Syahmi menunduk, Adham cuma tersenyum-senyum. Fakri langsung tidak menunjukkan apa-apa reaksi.

" Tak payah tanya diorang kak...budak kelas hujung mana boleh bagi idea." Hafizi tersengih. Safa mengerlingnya tajam. Ina menunjukkan riak wajah kurang senang.

" Syahmi suka tengok citer ape?" Safa menguntum senyum. Syahmi takut-takut. Hampir sahaja suaranya tidak keluar. Tersekat di kerongkong. Apa pula yang tidak kena dengan kakak berdua ni? Sebelum ini mereka tidak kisah pun kalau dia tidak bercakap. Mereka sudah tahu 'peelnya'. Abang Anas pun tidak pernah memaksa. Syahmi menelan liur.

" Citer bunuh-bunuh..." Gagap Syahmi bersuara. Tidak berani dia menentang mata Safa.
" Kenapa?" Giliran Ina pula bertanya.
" Sebab bapak die masuk jel kak. Bapak dier orang jahat!" Hafizi mencelah.
" Hish...ader akak tanya kamu?" Safa meninggikan suara. Geram dengan sikap Hafizi yang suka merendahkan orang lain. Inikah yang diterapkan dalam persatuan? Hafizi mencebir bibir. Tiba-tiba dia terus diam. Hafizi tunduk ke bawah. Jari-jemarinya menguis tanah. Tingkahnya berubah 180 darjah daripada tadi.
" Kakak nak setiap seorang bagi idea. Kalau sape tak bagi, akak akan denda."Safa dan Ina saling berpandangan. Keduanya mengangguk serentak.
" Ok...apa tunggu lagi. Kita mesti kalahkan kumpulan lain." Safa cuba meniupkan semangat pada mereka. Ketiga-tiganya mengangguk. Kecuali Hafizi...

" Apa Safa dan Ina dah buat pada mereka?" Abang Anas mengerutkan dahi. Dia seperti tidak percaya melihat lakonan Syahmi, Adham dan Fakri. Ketiga-tiganya petah berkata-kata. Syahmi berlagak sebagai pegawai polis yang terpaksa menangkap Adham, anak kandungnya sendiri. Azrina menggosok-gosok mata. Dia juga seperti abang Anas. Kebiasaannya, mereka bertiga tidak pernah bersuara. Cuma mengangguk dan menggeleng bila ditanya. Syahmi rasa rendah diri bila teman-teman menghina bapanya. Fakri pula masih trauma dengan kemalangan yang menimpa abangnya. Adham memang pendiam sejak azali lagi. Kata ibunya, di rumah pun dia begitu.

" Abang...ok tak?" Fakri mengunjukkan ibu jari. Dia senyum lebar.
" Ok sangat!" Abang Anas menepuk-nepuk bahu Fakri sebaik sahaja selesai lakonan mereka. Semua bertepuk tangan. Adham tersenyum bangga. kali pertama dia diberi peluang menunjukkan kebolehan. Mujur ada Kak Safa dan Kak Ina...pencetus revolusi semangat dalam diri!
" Fizi..kenapa diam aja ni?" Azrina mula tertanya-tanya melihat Hafizi yang sejak tadi membatu.

DENGARKAN CERITAKU-2

Dengarkan ceritaku-2

“ Hani….aku nak pegi surau. Nak Ikut tak?” Aku bingkas bangun. Serentak, bunyi kerusi yang berkeriut menyentakkan lamunannya. Mahunya tak melamun…kekasih keliling pinggang. Belum masuk yang di luar negeri. Tak terhitung kukira. Yalah, orang cantik. Ada darah campuran lagi.

“ Aku cutilah Teja…ko pergilah.” Pantas aku mengangguk, tidak mahu banyak bicara. Hai, minggu sudah pun cuti jugak. Takkan tiap-tiap minggu pun cuti. Hish, Teja…..tak baik berburuk sangka. Mungkin betul dia memang bercuti. Aku beristighfar dalam hati. Langkah kupanjangkan ke arah surau yang terletak tidak jauh dari kelas kami.

Kulihat ramai pelajar sessi petang berduyun-duyun masuk ke perkarangan sekolah. Sakit mataku melihat payung yang bermacam warna. Pink…hijau…biru, ramai budak lelaki yang lokos ditimpa hujan. Yalah budak lelaki mana pakai payung. Payungkan dicipta untuk perempuan!

“ Teja Farhana!” Ops, siapa pula yang laungkan nama penuh aku ni. Spontan, aku berpaling. Dua susuk tubuh berlari-lari mendapatkan aku. Dengan penglihatan yang agak terbatas ( hari ini cermin mataku pecah,atas kecuaian sendiri) , aku cuba mengenal pasti wajah-wajah mereka. Oh…Qayyum dan Fitri. Dua kembar yang tak boleh dipisahkan. Bukannya kembar sedarah sedaging, dua orang ini kami labelkan kembar kerana ke mana sahaja, mereka pasti berdua. Ada juga yang kata mereka ‘gay’. Aduhai manusia( termasuk aku) terlalu suka melabel dan menghukum!

“ Teja…Hani mana?” Fitri cepat-cepat menyoalku. Aku lihat riak wajahnya seperti teruja ketika menyebut nama Hani. Sepasang mata Qayyum turut bercahaya, menunggu jawapan dari ulas bibirku. Sempat juga mataku menikam anak matanya.

“ Ada kat kelas…kami buat perbincangan sikit tadi. Oklah…Qayyum, Fitri….saya nak pegi surau ni. Assalamualaikum.” Buru-buru alku mengatur langkah.

“ Teja…terima kasih!” Fitri sempat melaung. Aku sempat berpaling dan mengangguk. Fitri ni memang suka melaung ke?

Usai kewajipanku, langkah kuatur ke kelas semula. Hujan yang tadinya mengucur beransur menjadi gerimis yang menipis. Alhamdulillah, aku dah boleh pulang nanti…

Amboi, mesranya mereka berdua. Macam pinang dibelah lapan belas. Kenapa hati aku rasa sakit semacam bila melihat kemesraan mereka berdua? Rasa macam jantungku berdegup lebih pantas daripada kadar biasa. Dup…dap..dup..dap..

“ Teja…” Fitri menyapaku yang masih berdiri di muka pintu. Qayyum dan Mohani juga tersentak.

“ Aku beli makanan ni ha, untuk kita. Kenapa tercegat kat sini lagi…jom!” Fitri memandangku yang masih berdiri terpaku di situ. Aku akur tanpa banyak soal.

“ Lama betul ko semayang Teja?” Mohani menegur sambil tangannya lincah menaip mesej.

Saya wirid sekali.” Selamba aku menuturkan.Tercetus tawa kecil dari bibirnya. Eh…apa yang kelakarnya. Betul apa…aku wirid.

“ Wirid tu apa ye?” Mohani tersengih.

“ Kelakar je bunyinya…” Dia menyambung kata. Riak wajahnya selamba. Aku dan Qayyum saling berpandangan. Tidak sempat memanjangkan rasa terkejutku, Fitri menyuakan plastik berisi keropok padaku. Aku pun memang lapar sekarang ni. Rezeki jangan ditolak…

“ Hani..saya nak balik dah. Awak tak nak balik lagi?” Aku bertanya seusai saja menghabiskan keropok yang terakhir.

“ Saya tak balik dengan awak, Teja…Qayyum ‘offer’ balik dengan dia. Kejap lagi ‘driver’ awak jemput. Kan Qayyum?” Suara Mohani ala-ala mengada. Lama lagi aku di situ, semakin tinggi rasa meluatku. Silap-silap boleh menggunung….

Kibar kisah

Teman...
kibarkan kisah.
Tulislah.

DENGARKAN CERITAKU.....1

Hujan masih deras mengucur, membasahi apa sahaja di muka bumi. Berkali-kali langit diterangi kilat, dan siang dipecahkan dengan suara guntur yang lantang. Nampaknya aku kena bertapa di sekolah lagi, menunggu sampai hujan reda. Mujur ada juga temanku hari ini, siapa lagi kalau bukan si cantik Mohani. Saat ini, dia sedang leka membelek telefon bimbit dengan senyum meleret. Kawan aku yang seorang ni bukan makan saman walau pun sudah naik pekak telingaku dicanangkan dengan peraturan sekolah yang tidak membenarkan pelajar membawa telefon bimbit. Selalunya cikgu disiplin yang tegas, Cikgu Nik Ismail yang akan mencanang perkara itu dalam setiap perhimpunan. Berapi-api ucapannya, kalah ahli politik! Itu pun termaktub dalam buku peraturan sekolah. Mohani patut mengulang baca. Kalau aku tegur, dia akan mula tersengih sambil katanya....

" Telefon ni mahal Teja, kalau aku tinggal nanti hilang. Lagi pun papa beli suruh aku guna bukannya tinggal kat umah. Kalau ada apa-apa, boleh terus telefon. Kalau kau nak guna pun boleh. Aku tak berkira pun, kita kan kawan."
Fuh...panjang betul jawapan dia. Siap ada tawaran menarik lagi! Hmmm...nantilah aku fikir-fikirkan.

ISTIKHARAH YANG SATU-3

" Susah betulkan Nuha nak cakap, Nuha sayangkan Hadi?"
" Nuha sayangkan Hadi tak?"Asakan persoalan yang menambahkan keliru Nuha. Terkebil-kebil Nuha melihat reaksi Irfan Hadi yang tiba-tiba itu. Tapi Nuha akui, perkataan itu tidak pernah terbit di bibirnya sejak janji dimeterai lagi. Tidak terhitung rasanya berapa kali dalam sehari, ucapan itu meniti di bibir Irfan. Ucap yang seperti air mengalir. Tanpa sekat-sekat lagi. Hingga Nuha kadang-kadang diterpa rasa malu yang menghimpit, apa lagi di hadapan teman-teman yang suka benar mengusik.
" Nuha...sayang kau tak telefon hari ni?"
" Nuha.....romantik gile pakwe ko tu."
Nuha cuma sekadar senyum berbasa-basi. Sekadar memujuk hati sendiri dan menjaga hati teman-teman sekali gus.
" Nuha dah cakap, kan? Ma ngan babah tak suka Nuha ada komitmen lain masa belajar ni. Nuha ingat Hadi dah faham."Nuha melampiaskan rasa tidak puas hatinya. Biar Irfan tahu, rasa apa yang terbuku di hatinya saat dan tika ini.
" Kita bertunang dulu, Nuha." Irfan masih juga tidak berganjak.
" Hadi ...." Nada suara Nuha sedikit keras.
" Hadi balik dulu...Nuha memang tak pernah faham Hadi!" Spontan, Irfan mencapai kunci kereta dan telefon bimbitnya di atas meja. Wajah Irfan cemberut. Matanya sudah melotot ke arah Nuha. Irfan bingkas bangun.
" Hadi makanlah dulu...kut ye pun." Mendatar suara Nuha. Tiada kuasa menahan Irfan pergi. Nuha sudah masak benar tingkah Irfan yang 'kepala angin'. Degil Irfan tak boleh dilentur. Biar pun oleh senyum Nuha!
" Hilang selera!"
Serentak Nuha melarikan anak matanya. Diseka air mata yang mula bergenang. Kolam mata nuha mula berair. Hujung jari Nuha sudah basah dengan air matanya. Irfan sudah menghilang dari pandangan. Pertemuan Irfan dan Nuha selalu berakhir begitu. Nuha akan menangis...Irfan akan mula naik darah bila kehendaknya yang satu itu tidak dilunasi. Nuha mula memikir-mikir. Kepala Nuha terasa berdenyut-denyut. Berpinar-pinar mata Nuha...

Konsentrasi Nuha terganggu. Sejak tadi muka surat yang dibaca masih sama, tidak berganjak. Jari- jemari Nuha ligat memainkan mata pen. Mata Nuha tertancap pada novel-novel yang dihadiahkan oleh Irfan setiapkali menjelang hari lahir. Judul-judulnya cukup meruntun hati Nuha.
" Sayang seribu kali sayang, Kau yang kumiliki..." Mulut Nuha terkumat-kamit. Serentak bibir nuha melepaskan keluhan. Berat sungguh rasa yang menghuni hati Nuha saat ini...
Baru sekejap tadi, mama menelefon. Kata-kata mama masih terngiang-ngiang di telinga Nuha.
" Nuha...mama Irfan telefon tadi. Cakap pasal Nuha dan Irfan. Dia nak Nuha dengan Irfan diikat dulu. Ma dah banyak kali cakap kat Nuha kan?" Berdesing telinga Nuha sebaik sahaja selesai bicara ma.
" Nuha dah cakap kat dia ma. Nuha tak tahu..." Bicara Nuha terhenti.
" Tunggu habis belajar dulu.....apa-apa pun." Nada suara ma tersangat perlahan.
" Nuha faham, ma."
Nuha cuba untuk melupakan riak wajah Irfan siang tadi. Namun semuanya masih jelas terakam di ingatan Nuha. Wajah Irfan yang dengan persoalan yang tidak putus-putus dibawanya setiapkali mereka bersua empat mata. Hadi nak kahwin Nuha....